Tuesday 3 February 2009

UBAT-UBATAN BERCAMPUR GELATIN ATAU ALKOHOL

Sukacita dipohonkan jasa baik daripada Jabatan tuan mengenai ubat-ubatan bercampur gelatin atau alkohol, untuk rujukan Bahagian Farmasi Hospital Panaga, Seria.
Jawapan:
Persoalan berubat di dalam pandangan Islam adalah jelas suatu perkara yang diharuskan, bahkan ia boleh menjadi salah satu jenis ibadat jika ia dilakukan dengan niat yang baik seperti bertujuan untuk melaksanakan tuntutan syara‘ agar dapat beribadat kepada Allah dengan lebih sempurna. Walaupun begitu, berubat hanyalah dianggap sebagai salah satu sebab untuk mendapat kesembuhan dan yang menyembuhkan hanyalah Allah Ta‘ala. Jadi di samping berubat, hendaklah disertai tawakal kepada Allah.
Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri pernah berubat dan menyuruh berubat kerana dalam hadis Baginda ada menerangkan bahawa setiap penyakit itu ada penawarnya.
Baginda bersabda:
Maksudnya: “Bagi setiap penyakit itu ada ubatnya, maka apabila ubat serasi dengan penyakit, ia akan sembuh dengan izin Allah ‘Azza wa Jalla.”
(Hadis riwayat Muslim)

Abu Daud mentakhrîjkan daripada Usamah bin Syuraik:
Maksudnya: “Bahawa segolongan orang Arab kampung bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah boleh kami berubat?” Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Berubatlah kamu, kerana Allah Ta‘ala tidak menjadikan penyakit melainkan Dia menjadikan ubatnya, melainkan satu jenis penyakit, iaitu sakit tua.”

Pada dasarnya ubat atau penawar yang dianjurkan supaya dipakai ialah ubat-ubatan yang bersih, suci, tidak yang diharamkan dan dapat diterima oleh naluri pesakit, sebagaimana yang disebutkan dalam hadis:
(رواه البخاري)
Maksudnya: “Berubatlah kamu dan jangan kamu berubat dengan benda-benda yang diharamkan.”
(Hadis riwayat Bukhari)
Kemudian jika ubat yang sedemikian tidak diperolehi atau tidak bersesuaian, maka barulah beralih kepada ubat-ubatan lain walaupun ia tidak bersih, tidak suci atau yang diharamkan.
Menurut pendapat ulama Syafi‘e keharusan berubat dengan benda-benda najis atau yang diharamkan adalah berdasarkan bahawa berubat itu merupakan salah satu bentuk darurat, maka dalam keadaan darurat itulah diharuskan mengambil atau menggunakan sesuatu yang ditegah. Firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Dan sesungguhnya Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya.”
(Surah Al-An‘am: 119)
Dalam konteks ini bagaimanakah kedudukan ubat yang suci bercampur dengan gelatin dan alkohol? Sebelum membuat rumusan mengenai perkara ini terlebih dahulu dihuraikan apa itu gelatin dan alkohol.
Gelatin
Gelatin merupakan satu jenis bahan yang diperolehi (dengan mendidih dalam air) dari hidrolisis separa kelogen terbitan daripada kondrum, tulang, tendon dan kulit binatang.
Walaupun gelatin satu protein yang berasal daripada binatang, namun bahan ini mempunyai nilai biologi yang rendah.
Gelatin digunakan secara meluas dalam industri makanan dan merupakan salah satu bahan asasnya. Di antara makanan berkenaan ialah jeli. Gelatin juga digunakan untuk membuat manis-manisan, agar-agar dan ais krim.
Demikian dinukilkan secara ringkas mengenai pengertian gelatin daripada Ensiklopedia Malaysiana (5/77) dan Encyclopedia Britannica (G.165).
Dengan itu dapatlah diketahui bahawa yang dinamakan gelatin ialah sesuatu bahan yang berasal daripada binatang.
Seorang Pensyarah Fakulti Sains, Universiti Brunei Darussalam di dalam satu Majlis Halaqah Ilmu di Jabatan Mufti Kerajaan (20 Muharram 1420 / 6 Mei 1999) dalam hal ini menerangkan bahawa gelatin memang asalnya diperolehi daripada binatang.
Walaupun begitu di dalam Ensiklopedia Malaysiana dicatatkan bahawa “Gelatin sayur-sayuran adalah sama dengan gelatin binatang dari segi fungsinya dan ia diperolehi daripada gluten gandum atau bijiran lain.” (5/77)
Dan mengikut keterangan ini, bererti ada juga jenis gelatin yang berasal daripada sayur-sayuran.
Hukum gelatin
Persoalan asas di sini ialah jika gelatin itu berasal daripada binatang, bukan sayur-sayuran, maka hukumnya tertakluk kepada kedudukan binatang itu.
Apabila binatang itu binatang halal yang disembelih mengikut cara sembelihan Islam, maka gelatin itu adalah halal dan suci, tetapi apabila binatang itu bukan binatang halal, seperti khinzîr, ataupun ia binatang halal tetapi tidak disembelih mengikut cara sembelihan Islam, maka gelatin itu haram dan najis.
Untuk lebih jelas, hukum gelatin adalah mengikut kepada hukum sumber atau punca asalnya. Di dalam kaedah usul fiqh disebutkan:
Ertinya: “Pengikut itu hukumnya tetap sebagai pengikut yang mengikut.”
Ertinya: “Pengikut tidak berasingan dengan hukum tersendiri.” (Qawâ‘id-Qawâ‘id Fiqh: 58)
Dengan yang demikian, gelatin yang berasal daripada binatang haram, ataupun binatang halal tetapi tidak disembelih secara sembelihan Islam adalah haram dan najis, kemudian jika ia dicampurkan dengan ubat atau makanan, maka ubat dan makanan itu turut menjadi najis.
Alkohol
Alkohol merupakan bahan cecair tanpa warna yang dihasilkan menerusi dua cara pemerosesan. Pertama menerusi fermentation (penapaian), iaitu proses khas untuk menghasilkan arak, dan kedua menerusi bahan kimia, iaitu suatu proses bagi menghasilkan alkohol daripada petroleum.
Hasil pemerosesan ini dikenali juga sebagai etanol atau etil alkohol. Dalam bidang perubatan, alkohol digunakan sebagai antiseptik dan sebagai pelarut. Metanol yang dikenali sebagai alkohol metil atau alkohol kayu ialah satu bahan yang sangat beracun. (Malaysiana: 1/277)

Hukum Alkohol

Imam-imam mazhab yang empat (Hanafi, Maliki, Syafi‘e dan Hanbali) sepakat mengatakan bahawa alkohol yang bersumber daripada arak adalah najis dengan mengqiyâskannya kepada arak, kerana kesamaan ‘illah atau sebab, iaitu sama-sama memabukkan.

Adapun kenajisan arak sendiri ialah berdasarkan firman Allah Ta‘ala:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(Surah Al-Mâ’idah: 90)

Dan juga berdasarkan hadis Abu Tsa‘labah katanya:
Maksudnya: “Kami berkunjung kepada orang-orang Ahli Kitab (semasa berlalu di kawasan mereka) mereka memasak daging khinzir di dalam periuk mereka dan minum arak menerusi perkakas minuman mereka. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Jikalau kamu boleh mendapatkan (peralatan) yang lain, pakailah yang lain itu, tetapi jikalau tidak ada yang lain, maka basuhlah terlebih dahulu dengan air, lalu makan dan minumlah padanya.”
(Hadis riwayat Abu Daud)
Suruhan Nabi membasuh bekas arak mereka itu kemudian membenarkan mempergunakan bekasnya, bererti arak itu najis termasuk kesan-kesannya yang tinggal di dalam bekasnya.

Berubat Dengan Najis

Allahyarham Pehin Dato Dr Haji Ismail bin Umar Abdul Aziz (Mufti Kerajaan Brunei) berkata:

“Adapun berubat dengan ‘ain benda-benda yang najis adalah harus, sama ada ‘ain benda-benda najis itu telah dibancuh dengan lain-lain benda, atau ‘ain benda-benda najis itu bulat- bulat, dan semata-mata dijadikan ubat melainkan arak, maka tiadalah harus berubat dengan arak semata-mata arak, dan harus berubat dengan arak yang bercampur dan dibancuh dengan lain-lain benda.” (Siri Fatwa 34/70)

Ibnu Hajar berkata:
Ertinya: “Harus berubat dengan kuku bangkai, tulang- tulangnya dan segala jenis najis – sama ada zatnya atau campurannya, melainkan arak, maka tiada harus berubat dengan zat (‘ain) arak, tetapi harus dengan campuran (bancuhannya).” (Al-Fatâwa Al-Kubrâ 1/28)
Ulama Mazhab Syafi‘e berpendapat bahawa haram hukumnya berubat jika hanya semata-mata dengan zat (‘ain) arak atau alkohol. Pengharaman ini berlaku selama ia tidak dicampur dengan bahan lain, di samping itu tidak pula ada ubat lain selain ubat yang bercampur alkohol itu.
Selain itu, pemakaiannya hendaklah berdasarkan ahli perubatan yang dipercayai dan penggunaannya pula hanya sekadar keperluan saja.
Dengan yang demikian, ubat yang bercampur alkohol atau gelatin yang ditanyakan, samalah kedudukannya berubat dengan najis kerana darurat jua.

No comments: