Tuesday 10 February 2009

TERLALU MENGEJAR AMALAN SUNAT

Memang menjadi fitrah manusia suka berlumba-lumba mencari sesuatu yang terbaik. Khusus dalam perkara ibadat, setiap orang Islam dituntut mencari kelebihan (fadhilat) dan amal kebajikan sebagai pertaruhan dan bekalan di akhirat nanti. Perbuatan sedemikian adalah sifat orang-orang yang salih sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Qur’an:

Tafsirnya: “Dan mereka pula segera pada mengerjakan berbagai kebajikan. Mereka (yang demikian sifatnya) adalah daripada orang-orang yang salih.”(Surah Ali ‘Imran: 114)
Dalam pada itu, terdapat segolongan manusia yang tersilap fahaman dan tindakan kerana terlalu mementingkan amalan sunat sehingga perkara yang wajib dan fardhu terabai. Kemungkinan perkara ini berlaku disebabkan terkeliru oleh ganjaran pahala besar bagi amalan-amalan sunat. Keadaan inilah yang menjadikan mereka ghairah melakukan amalan-amalan sunat dan menyebabkan mereka tidak memberi perhatian yang lebih kepada perkara-perkara yang wajib, sedangkan perkara wajib itu lebih utama dilaksanakan.
Sembahyang
Sembahyang itu wajib dilakukan oleh setiap orang Islam sebagai pengabdian dan tanda syukur kepada Allah Yang Maha Agung. Sembahyang itu diwajibkan ke atas orang Islam kerana ia merupakan salah satu daripada rukun Islam. Sembahyang juga adalah cahaya yang menerangkan jalan hidup yang sebenarnya dan cahaya bagi orang yang mengerjakannya di dunia dan akhirat.
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam juga menyifatkan orang-orang yang meninggalkan sembahyang itu sebagai tanda tidak bersyukur terhadap keluarga dan harta yang diperolehinya. Baginda bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa yang meluputkan satu sembahyang, maka seolah-olah dia mengecilkan (menyempitkan) ahli keluarga dan hartanya.”(Hadis riwayat al-Bukhari)
Berdasarkan ayat al-Qur’an di atas, apapun sebabnya, kecuali kerana terlupa atau tertidur, maka meninggalkan sembahyang itu hukumnya berdosa dan wajib diqadha dengan segera.
Menurut Imam an-Nawawi, bahawa sembahyang fardhu yang luput dengan tiada uzur, ditinggalkan dengan sengaja, mencuaikan sembahyang tersebut ketika dalam pelayaran atau lalai kerana menonton hiburan, maka wajib ke atasnya mengqadha sembahyang yang ditinggal atau dicuaikan itu dengan segera dan tidak boleh dilengah-lengahkan.
Dalam keadaan ini, menurut Ibnu Hajar Rahimahullah bahawa tidak harus bahkan haram bagi orang-orang yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja atau dengan tiada uzur menghabiskan masa dan waktunya dengan perkara-perkara lain sekalipun yang sunat sebelum mengqadha sembahyang fardhu yang ditinggalkan-nya itu, melainkan masanya itu digunakan bagi menunaikan perkara-perkara yang wajib seperti mencari nafkah untuk tanggungannya.
Zakat
Zakat merupakan salah satu rukun Islam yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam apabila cukup syarat-syaratnya. Zakat bertujuan membersih golongan kaya daripada perasaan kedekut. Ibadat ini juga dapat membersihkan perasaan dendam dan hasad dengki golongan miskin terhadap mereka yang hidup mewah. Jelasnya tujuan amalan zakat ialah untuk membentuk masyarakat yang penyayang dan adil.
Kewajipan zakat itu seiring dengan kewajipan sembahyang. Oleh itu, ibadat tersebut hendaklah ditunaikan kerana lebihan harta yang ada adalah hak Allah Subhanahu wata‘ala melalui ashnâf-ashnâf yang ditentukan oleh syara‘.
Dalam usaha mengukuhkan hidup bermasyarakat, umat Islam digalakkan bantu membantu melalui sumbangan atau derma kebajikan kepada pihak-pihak yang memerlukannya seperti orang miskin, anak yatim dan sebagainya. Sekalipun amalan sedemikian menjadi tuntutan agama Islam, namun ibadat zakat tidak seharusnya diabaikan atau dilengahkan kerana ia adalah satu kewajipan yang mesti didahulukan. Orang yang mempunyai harta (telah wajib ke atasnya zakat) sedang dia ingkar mengeluarkan zakat, disifatkan sebagai sama seperti keadaan orang kafir.
Perkara-perkara wajib adalah wajib diutamakan dan tidak boleh dilengah-lengah atau dilambat-lambatkan. Dalam hal ini melakukan umrah, melancong ke tempat lain yang memerlukan perbelanjaan yang banyak sehingga ibadat zakat tertangguh adalah bercanggah dengan kehendak Islam yang sebenar. Dalam perkara zakat, mana-mana harta yang wajib dikeluarkan zakat seperti harta wang simpanan, perniagaan, pertanian, binatang ternakan seperti kerbau dan kambing, emas dan perak yang cukup syarat-syaratnya hendaklah ditunaikan dengan segera, ditakuti dengan melambatkannya akan luput. Walau bagaimanapun, zakat-zakat yang terluput wajib diqadhakan sepertimana juga dalam perkara sembahyang.
Puasa
Puasa merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu wata‘ala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Ta‘ala sendiri sebagaimana yang disebutkan oleh Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam dalam sabdanya:
Maksudnya: “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Allah Subhanahu wata‘ala berfirman: “Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untukKu (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.”(Hadis riwayat al-Bukhari)
Puasa Ramadhan diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan al-Qur’an dan hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu‘ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘Asyura, hari Arafah, puasa Sya‘ban, puasa mingguan pada setiap hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal dan lain-lain.
Tidak dinafikan bahawa ganjaran yang diberikan kepada orang yang berpuasa sunat enam hari pada bulan Syawal itu adalah besar. Memandangkan kelebihan berpuasa sunat itu besar, maka sebahagian orang tersilap anggap sehingga meninggalkan puasa qadha. Sedangkan, menurut hukum syara‘, puasa-puasa sunat tersebut hanya boleh dilakukan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadhan sebulan penuh dan disunatkan juga dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadhan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syara‘ seperti perempuan haid dan nifas, musafir yang diharuskan atau orang sakit. Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadhan dengan sengaja adalah haram baginya melakukan apa jua puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha puasanya yang luput itu, kerana puasa Ramadhan yang ditinggalkan adalah wajib diqadha sebanyak hari yang ditinggalkan itu
Dalam mengerjakan qadha puasa, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qadha puasa tersebut. Mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat sebelum mengqadhanya. (Fath Al-‘Allâm: 4/161)
Menurut ulama Syafi‘iyyah tidak harus bahkan haram orang-orang sedemikian mengerjakan puasa-puasa sunat kecuali setelah selesai mengqadha puasa yang tertinggal itu. Sehubungan dengan ini, sayugia diingatkan bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadhan hendaklah menyegerakan qadha puasa tersebut sebelum datang Ramadhan yang baru.
Walau bagaimanapun sebagai agama yang penuh hikmat, Islam juga menyediakan jalan atau cara yang baik bagi mendapatkan pahala sunat sekalipun mempunyai qadha puasa, umpamanya bagi orang yang hendak melakukan qadha puasa Ramadhan (meninggalkannya kerana keuzuran yang diharuskan oleh syara‘) ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa-puasa sunat. Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qadha dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-duanya sekali (iaitu ganjaran puasa qadha dan ganjaran puasa sunat). Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qadha, puasa nazar atau puasa kaffârah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari ‘Asyura, hari Arafah dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.
Haji
Begitu juga dalam perkara seseorang yang mampu menunaikan haji tetapi ghairah dan asyik melakukan umrah. Setiap tahun dia mengerjakan umrah lebih daripada sekali tetapi dia tidak ada usaha langsung untuk menunaikan fardhu haji, lebih-lebih lagi berazam untuk mengerjakannya di masa akan datang. Padahal ibadat haji itu adalah rukun Islam yang wajib dikerjakan oleh setiap orang mukallaf sekali seumur hidup iaitu bagi orang yang telah cukup syarat-syaratnya seperti berkuasa melakukannya.
Kesimpulan
Amalan fardhu ialah segala perkara yang wajib ditunaikan sebagaimana yang ditetapkan oleh Islam. Dilaksanakan amalan itu dengan rasa tanggungjawab seorang hamba kepada Tuhannya dan ia merupakan sebagai asas, sedang segala perkara yang sunat adalah sebagai binaan. Seorang mukmin dikehendaki menyediakan asas amalannya sebelum mendirikan binaan. Ertinya dia wajib menunaikan segala perkara yang wajib kemudian menambahnya dengan mengerjakan segala yang sunat supaya amalannya lebih teratur dan sempurna.
Melakukan amalan-amalan sunat menjadikan seseorang itu lebih dicintai oleh Allah Subhanahu wata‘ala. Yang menjadi amalannya ada dua macam iaitu yang fardhu dan yang bukan fardhu. Maka tarafnya tentu melebihi daripada orang yang hanya mengerja-kan segala yang fardhu sahaja.

1 comment:

amanasyanti said...

Apa kriteria yang digunkan para Imam Mazhab bila menentukan sesuatu amalan itu wajib atau sunat. Saya kira kalau amalan itu dianjurkan dalam Quran, ia lazimnya menjadi wajib. Namun begitu ibadat Qurban dikira sunat oleh Imam As Syafie. Semabahyang tahajjud di sebut dalam Quran tetapi dianggap digalakkan bukan dimestikan. Ibadat yang di sebut dalam hadis sahaja biasanya dihukumkan sebgai sunat. Ini adlah kerana sifat hadis itu sendiri, yang banyak taraf kepastiannya walhal yang bertaraf mutawatir sedikit sangat jumlahnya. Jadi umat diberi pilihan untuk memilih melakukan atau tidak.
Namun ada juga para ulama yang menganjurkan pelbagai ibadat sunat walaupun berdalilkan hadis lemah dengan alasan berlebihan dalam perkara ibadat tidak merugikan.
Saya nampak dua penyebab dalam keghairahan melakukan ibadah sunat:
a) Salah anggap bahawa ibadat seperti sembahyang, puasa dan umrah adalah persembahan (hadiah)kepada Tuhan. Ini sangat bertentangan dengan firman Tuhan "Surah Ad-Dhariyat (51) 57 مَا أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ yang maksudnya "Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepadaKu". Kepercayaan ini lumrah dikalangan ustaz ustaz yang sering berkata "dengan selalu mengambil hati Allah, lebih terdorong baginya memakbulkan dua kita". Juga mereka menganggap balasan Allah itu adalah satu atas satu. Lagi banyak, lagi cantik lagi baik. Padahal tujuan dan kesannya sebagai pemangkin kepada peribadi hamba yang beribadat itu lebih penting.
b)Salah anggap bahawa Ibadat/Amal soleh itu dihadkan kepada sembahyang, puasa, umrah, membaca Quran dan bezikir sahaja. Walhal ibadat itu merangkumi apa juga yang memberi kebajikan kepada diri sendiri, keluraga dan masyrakat. Oleh itu sering disarankan oleh penganjur ugama supaya orang pencen duduk di tikar sembahyang atau berulang ke mesjid. Lupakan segala perkara dunia. Sebenarnya, pesara (guru, jurutera, doktor, saintis, pakar IT) mempunyai ilmu, kemahiran dan pengalaman yang luas yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam. Penekanan kepada perkara sunat yang kadangkala belum tentu sah dalilnya akan membuat masyarakat menjurus kearah cara hidup yang jumud.