Tuesday 10 February 2009

Hukum Gambar, Patung & Lukisan daripada objek bernyawa

Soalan:
Saya pernah mendapati bahawa ada jemaah membaca ‘surat khabar’ di masjid sebelum sembahyang fardhu Jumaat. Menurut hadis Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam, malaikat tidak memasuki rumah yang mempunyai objek seperti gambar-gambar dan sebagainya.
Jadi, dengan adanya gambar-gambar yang dibawa masuk ke dalam masjid melalui surat khabar semasa sembahyang Jumaat itu, adakah malaikat akan masuk ke dalam masjid ataupun tidak?
Jika hadis ini dipercayai betul, maka kaola khuatir rahmat Allah tidak akan sampai kepada kita semasa sembahyang Jumaat dan perkara ini sangatlah dikesali.
Semoga Tuan dapat memberikan pandangan mengenai persoalan

Jawapan:

Mudah-mudahan Allah akan memberi taufiq dan hidayahNya kepada Tuan, kerana soalan di atas.
Adakah persoalan gambar fotograf mempunyai persamaan hukum dengan persoalan patung atau lukisan daripada objek yang bernyawa? Oleh kerana itu persoalan patung dan gambar lukisan dari objek yang bernyawa perlu dihuraikan:
(i) Patung daripada objek yang bernyawa yang lengkap dengan semua anggotanya adalah haram dengan ijmâ‘, dan wajib dimusnahkan, sama ada patung manusia, binatang, malaikat, jin atau binatang yang tiada bandingan baginya seperti kuda bersayap atau berkepak.
(ii) Patung daripada objek bernyawa, tetapi dipotong bahagian anggota yang tidak boleh ia hidup tanpa anggota berkenaan itu adalah harus.
(iii) Patung daripada objek bernyawa yang lengkap bagi tujuan pendidikan atau pengajaran dan pembelajaran atau patung mainan untuk kanak- kanak perempuan adalah harus.
(iv) Lukisan daripada objek bernyawa yang diletakkan pada tempat-tempat terhormat dan tidak hina adalah haram.
(v) Lukisan daripada objek bernyawa yang diletakkan pada tempat-tempat tidak terhormat dan sekalipun menghinakan seperti yang terdapat pada penyandar-penyandar yang dijadikan tempat sandaran atau tempat duduk adalah masih diingkari oleh Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini ditafsirkan oleh setengah ulama sebagai makruh sahaja.
(vi) Lukisan daripada objek yang bernyawa yang diperlukan bagi tujuan-tujuan yang tidak bercanggah dengan syara‘ adalah harus.
(vii) Objek yang bernyawa, berjisim dan sama ada berbayang atau tidak, dibuat dengan tujuan menyerupai Allah dalam menjadikan-nya atau bagi tujuan penyembahan adalah kufur.
Hadis-hadis yang memper-katakan tentang malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada patung, atau lukisan gambar haiwan adalah hadis-hadis shahîh.
Menurut sebahagian ulama persoalan gambar fotograf yang disiarkan dalam akhbar-akhbar tidaklah termasuk dalam bidang yang diharamkan, kerana ia bukan dilukis dengan tangan, dan tidak juga dalam bentuk lembaga. Gambar negative itu sebagai menyimpan atau menangkap bayang yang diletakkan di atas kertas.
Atau dengan kata lain, dikecualikan daripada per-soalan patung atau lukisan gambar daripada objek yang bernyawa itu, ialah gambar melalui cahaya matahari seperti gambar fotograf, kerana gambar fotograf itu diumpamakan menahan bayang dengan membubuh bahan kimia yang khas.
Malaikat tidak akan masuk ke tempat-tempat yang ada patung dan gambar lukisan yang bernyawa yang diharamkan. Ini tidaklah termasuk gambar fotograf seperti yang diterangkan di atas.
Bagi menyesuaikan suasana masjid, memanglah munasabah akhbar tidak akan dibaca di dalam masjid pada waktu sembahyang Jumaat lebih-lebih lagi sewaktu khutbah disampaikan.
Oleh kerana itu, adalah munasabah dan elok pengedaran akhbar dilaku-kan selepas menunaikan fardhu Jumaat atau waktu-waktu lain yang lebih munasabah. Yang demikian itu tidaklah akan berbangkit adanya sebahagian orang ramai yang membaca akhbar di dalam masjid pada masa dan ketika hendak menunaikan fardhu Jumaat, dan juga keraguan tentang malaikat tidak masuk ke dalam masjid kerana adanya gambar-gambar.

No comments: