Saturday 2 May 2009

SEMBAHYANG JENAZAH: BOLEHKAH DILAKUKAN BERULANG KALI?


Antara perkara yang dituntut untuk dilaksanakan terhadap jenazah
ialah menyembahyangkannya. Tuntutan menyembahyangkan
jenazah ini adalah fardhu kifayah. Jika sembahyang ke atas jenazah
itu dilakukan oleh seorang sahaja, maka itu pun sudah memadai
dan gugur kewajipan tersebut daripada orang lain selainnya.
Mereka tidak berdosa jika mereka tidak melakukannya.
Walaupun tuntutan fardhu kifayah itu sudah tertunai dan memadai
dengan dilaksanakan oleh satu individu sahaja, namun sebilangan
besar masyarakat kita begitu prihatin untuk tidak ketinggalan
menyembahyangkan jenazah yang mereka ziarahi. Seringkali kita
dapati bilangan jemaah yang turut sama menyembahyangkan
jenazah tersebut begitu ramai. Kadang-kala kita dapati juga
sembahyang ke atas jenazah dilakukan beberapa kali oleh individu
atau jemaah yang berlainan oleh sesetengah orang yang terlewat
datang. Ini kerana antara tujuan mereka menyembahyangkan
jenazah itu adalah sebagai penghormatan mereka terhadapnya dan
dengan harapan apa yang dilakukan itu si mati akan mendapat
rahmat dan keampunan Allah Subhanahu wa Ta‘ala.
Persoalannya, adakah sembahyang jenazah yang dilakukan
beberapa kali atau dilakukan secara berulang-ulang ke atas jenazah
yang telah disembahyangkan itu, sama ada ia dilakukan oleh
individu atau jemaah yang sama ataupun berlainan, dibenarkan
oleh syara‘? Tidakkah dengan mengulang-ulang sembahyang itu
boleh menjejaskan tuntutan menyegerakan pengebumiannya?
Maka untuk menjawab persoalan terhadap perkara ini, dinyatakan
penjelasan ulama mengenainya.
Perbezaan Antara Jenazah Yang Sudah Dan Yang Belum
Disembahyangkan
Sembahyang ke atas jenazah merupakan fardhu kifayah. Manakala
berjemaah dalam sembahyang jenazah hanyalah sunat.
Jika jenazah belum disembahyangkan, maka tuntutan
sembahyang jenazah masih merupakan fardhu kifayah ke atas
setiap orang Islam yang mengetahuinya. Maka sembahyang
jenazah boleh dikerjakan sama ada secara bersendirian ataupun
secara berjemaah.
Bagaimana pula dengan jenazah yang sudah disembahyangkan,
apakah boleh dilakukan sembahyang ke atas jenazah tersebut
berulang kali, sama ada dilakukan oleh individu yang sama
ataupun individu yang berlainan? Penjelasan kepada persoalan ini
dibahagikan kepada dua, iaitu:
i) Individu yang belum mengerjakan sembahyang jenazah.
ii) Individu yang sudah mengerjakan sembahyang jenazah.
i) Individu yang belum mengerjakan sembahyang
jenazah
Jika seseorang datang dan dia belum menyembahyangkan
jenazah tersebut, sedangkan imam dan jemaah yang lain
telahpun selesai menyembahyangkan jenazah tersebut, maka
disunatkan bagi orang yang baru datang tadi untuk
menyembahyangkan jenazah tersebut secara berjemaah
ataupun secara bersendirian.
Niat mengerjakan sembahyang ke atas jenazah bagi yang
belum mengerjakannya, hendaklah dengan niat fardhu dan
dikira sebagai fardhu kifayah seperti juga sembahyang yang
pertama yang telah dikerjakan oleh jemaah awal, serta
diberikan kepadanya ganjaran pahala fardhu, sama ada
sembahyang itu dilakukan sebelum ataupun selepas jenazah
dikebumikan.
ii) Individu yang sudah mengerjakan sembahyang
jenazah
Menurut pendapat yang shahih, tidak disunatkan, bahkan ia
menyalahi yang utama (khilaf al-awla) bagi sesiapa yang
sudah mengerjakan sembahyang jenazah untuk
mengulanginya lagi dalam semua keadaan, sekalipun
sembahyangnya yang awal itu dilakukan:
a) secara bersendirian, kemudian dia mahu mengulanginya
lagi untuk kali keduanya secara berjemaah, sama ada
kumpulan yang kedua yang hendak berjemaah dalam
sembahyang jenazah itu datang sebelum pengebumian
ataupun selepas pengebumian; atau
b) secara bersendirian, dan mahu mengulanginya lagi untuk
kali keduanya secara bersendirian; atau
c) secara berjemaah, kemudian dia mahu mengulanginya lagi
untuk kali keduanya secara berjemaah; atau
d) secara berjemaah, kemudian dia mahu mengulanginya lagi
untuk kali keduanya secara bersendirian.
Bahkan mustahab ditinggalkan perbuatan mengulangi sembahyang
ke atas jenazah bagi yang sudah mengerjakannya.
Jika dia mengulangi juga sembahyangnya, sama ada satu kali
ataupun lebih, maka sembahyang yang kedua dan seterusnya itu
dianggap sah dan dikira sebagai sunat. Walau bagaimanapun
sembahyang yang diulanginya itu tetap wajib dikerjakan dengan
niat fardhu.
Adapun sesetengah ulama yang membenarkan pengulangan
sembahyang jenazah, umpamanya Imam ar-Ramli Rahimahullah
yang mengatakan harus, kerana tujuan atau sebab sembahyang ke
atas jenazah itu dilakukan adalah kerana sembahyang itu sebagai
doa, syafaat dan memperbanyakkan pahala bagi jenazah.
Disegerakan Pengebumian Jenazah
Apabila satu jenazah itu sudah selesai disembahyangkan, maka
mengikut sunnah hendaklah disegerakan pengebumiannya tanpa
perlu menunggu-nunggu kedatangan sesiapa, kecuali kerana
menunggu kedatangan walinya dari jarak tempat yang hampir atau
berdekatan. Namun penangguhan sebentar itu dibenarkan dengan
syarat jika tidak ditakuti terjadinya perubahan pada mayat.
Sebaliknya jika ditakuti terjadi perubahan kepada mayat, maka
tidak ditunggu wali tersebut atau ditangguhkan pengebumiannya.
Ini kerana tuntutan menghormati jenazah itu lebih penting daripada
menunggu kedatangan wali.
Sebagai kesimpulan, sembahyang jenazah merupakan fardhu
kifayah dan menyegerakan sembahyang jenazah itu adalah
dituntut. Sesiapa yang hadir dan belum menyembahyangkan
jenazah, maka dia boleh mengerjakannya secara bersendirian
ataupun berjemaah, sama ada jenazah tersebut sudah selesai
disembahyangkan ataupun belum. Manakala bagi sesiapa yang
sudah mengerjakannya, tidak disunatkan untuk dia mengulanginya
lagi.

No comments: