Saturday, 2 May 2009

Menahan Hadats Kecil Ketika Sembahyang

Sentiasalah kita berusaha untuk mencapai kesempurnaan dalam
sembahyang dan dalam waktu yang sama berusaha mengelakkan
perkara-perkara yang mengurangkan kesempurnaan itu sekalipun
ia nampak kecil, seperti pandangan mata yang bukan di tempat
sujud, memalingkan muka ke kiri atau kanan dan umpamanya lagi
ialah menahan diri dari hadats kecil.
Apa yang dimaksudkan dengan menahan diri dari hadats kecil di
sini, ialah menahan air kencing, air besar atau angin dari keluar
ketika seseorang hendak mengerjakan sembahyang atau ketika di
dalam sembahyang.
Orang yang menahan air kencing dalam bahasa Arab dipanggil
haqin, sementara orang yang menahan air besar ialah haqib dan
orang yang menahan angin dipanggil haziq.
Menurut kajian perubatan, bahawa perbuatan kerap menahan air
kencing dan air besar ini boleh menjejaskan kesihatan. Kerap
menahan air kencing boleh menyebabkan penyakit batu ginjal. Ini
kerana apabila ia ditahan, air kencing menjadi lebih pekat, atau
jangkitan saluran kencing. Air kencing yang pekat dan jangkitan
saluran kencing merupakan faktor penyumbang terbentuknya batu.
Sementara menahan air besar pula boleh menyebabkan penyakit
sembelit iaitu kesukaran untuk membuang air besar.
Apa yang ingin dijelaskan di sini ialah berhubung dengan hukum
menahan diri dari hadats kecil tersebut, adakah ia membatalkan
sembahyang atau boleh mengurangkan kesempurnaan
sembahyang?
Sembahyang Orang Yang Menahan Diri Dari Hadats Kecil
Makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan seseorang itu
menahan air kencing, air besar atau angin dari keluar, kerana ia
boleh menjejaskan kekhusyukan dalam sembahyang. Ini samalah
juga halnya, jika seseorang itu menahan keinginannya yang
bersangatan untuk makan atau minum di dalam sembahyangnya
sedangkan ketika itu hidangan sudah terhidang. Perkara ini ada
disebutkan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah
Radhiallahu ‘anha, bahawa beliau pernah mendengar Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
َ لا صَ َ لاَة ِبحَضرَة الطَّعَاِم وَ َ لا هوَ يدَافعه ْالأَ  خبََثا  ن
(رواه مسلم)
Maksudnya: “Tidak (sempurna) sembahyang dengan adanya
makanan yang terhidang, dan juga tidak (sempurna) sembahyang
ketika dia sedang menahan dari membuang air kecil dan air
besar.”
(Hadis riwayat Muslim)
Bila Ia Makruh?
Hukum makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan
menahan air kencing, air besar atau angin itu, dikira semasa
wujudnya keadaan menahan itu pada ketika mengangkat
takbiratulihram.
Adapun jika wujudnya keadaan menahan diri dari hadats kecil itu
semasa dalam sembahyang fardhu, maka tidak harus dia
memutuskan sembahyangnya itu melainkan ada keuzuran seperti
takut mudharat pada dirinya apabila menahan diri dari hadats kecil.
Namun jika dia menahannya ketika dalam sembahyang sunat
walaupun dia bernazar untuk menyempurnakan sembahyang
sunatnya itu, maka tidak haram dia memutuskan sembahyang
tersebut.
Demikian juga, hukum makruh itu hanya terjadi apabila waktu
sembahyang masih panjang. Sebagai contoh, ketika seseorang itu
hendak mengangkat takbiratulihram sembahyang fardhu Zohor
sedang dia menahan air kencingnya. Maka dalam hal ini, makruh
dia mengerjakan sembahyang fardhu Zohor jika waktu
sembahyang tersebut masih panjang.
Sehubungan dengan itu, sunat ke atas orang yang menahan diri
dari hadats kecil untuk mengeluarkannya terlebih dahulu jika
waktu sembahyangnya masih panjang.
Qadha Hajat Walau Luput Sembahyang Jemaah
Sunat ke atas orang yang menahan air kencing, air besar atau angin
untuk membuangnya terlebih dahulu sebelum mengerjakan
sembahyang walaupun sehingga menyebabkan terluput
sembahyang berjemaah, itu pun jika waktu sembahyangnya masih
panjang.
Sunat Diulang Sembahyang
Sungguh pun makruh mengerjakan sembahyang dalam keadaan
menahan air kencing, air besar atau angin dari keluar, namun ia
tidak membatalkan sembahyang jika dalam keadaan menahan
hadats kecil tersebut. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya
mengulangi sembahyangnya itu.
Takut Luput Waktu Sembahyang
Jika waktu sembahyang fardhu itu suntuk, maka wajib ke atas
orang yang menahan air kencing, air besar atau angin,
mengerjakan sembahyang dalam keadaan tersebut dan tidak
mengakhirkan sembahyangnya. Ini kerana untuk menjaga
kehormatan waktu sembahyang tersebut. Itu pun jika tidak terjadi
mudharat ke atasnya disebabkan menahan hadats kecil itu.
Bila Wajib Mengeluarkan Hadats Kecil?
Jika seseorang itu menyangka apabila dia menahan air kencing, air
besar atau angin, akan memudharatkan dirinya iaitu mudharat yang
boleh menyebabkan bertayammum, maka wajib dia mengeluarkan
hadats kecil itu terlebih dahulu sebelum dia mengerjakan
sembahyang, sama ada waktu sembahyang itu masih panjang
ataupun suntuk.
Sebagai kesimpulan, menahan air kencing, air besar atau angin,
bukan sahaja boleh menjejaskan/memberi kesan buruk kepada
kesihatan seseorang, bahkan ia juga menyentuh perkara ibadat
terutama sekali kekhusyukan dalam sembahyang. Ini kerana
perbuatan menahan hadats kecil itu boleh mengalihkan pemikiran
dan hati kepada perkara tersebut dan sekaligus menghilangkan
kekhusyukan sembahyang.
Kekhusyukan dalam sembahyang salah satu perkara yang
menjamin kesempurnaan ibadah sembahyang, maka dari itu
hendaklah dijaga, bukan sahaja menghindarkan diri dari menahan
hadats kecil tersebut, bahkan menghindarkan semua perkara yang
boleh menjejaskan kekhusyukan dalam sembahyang seperti
pandangan mata yang bukan di tempat sujud, memalingkan muka
ke kiri atau kanan dan seumpamanya.

No comments: