Tuesday, 10 February 2009

Dari PENDETA menjadi MUBALIGH ISLAM Hafal Dua Kitab Allah Dan Hadis Nabi

Ka’ab al-Ahbar adalah salah seorang pendeta Yahudi yang terkenal dengan kebolehan-nya menghafal dan menguasai kitab Taurat. Beliau suka bermunajat kepada Allah secara bersembunyi dan sering berkhalwat (mengasingkan diri kerana beribadah). Melalui kitab Taurat yang diturunkan oleh Allah kepada Nabi Musa, beliau mula mengetahui sifat-sifat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, ciri-ciri sahabat dan pengikutnya yang terdiri daripada kaum Mujahidin yang rela berkorban apa saja demi agama Islam. Allah Subhanahu wata’ala telah menghendaki Ka’ab bergabung dalam barisan kaum Muslimin yang mana akhirnya beliau menjadi salah seorang ulama dan mubaligh Islam yang termasyhur.
Hatinya mula terpaut dengan Islam ketika mendengar seorang sahabat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam membaca ayat al-Qur’an:
Tafsirnya: “Wahai orang-orang yang telah diberikan Kitab, berimanlah kamu dengan apa yang telah Kami turunkan (al-Qur’an), yang mengesahkan Kitab-Kitab yang ada pada kamu, sebelum Kami menyeksa dengan menghapuskan bentuk muka kamu (sehingga berubah menjadi rata - tidak bermulut, berhidung dan bermata), lalu Kami menjadikannya sama seperti rupa sebelah belakangnya, atau Kami melaknatkan mereka sebagaimana Kami telah melaknatkan orang-orang (daripada kaum mereka - Yahudi) yang melanggar larangan bekerja pada hari Sabtu. Dan (ingatlah) perintah Allah itu tetap berlaku.” (Surah an-Nisâ’ : 47)
Sebaik saja Ka’ab mendengar ayat ini, perasaannya menjadi takut dan jiwanya terus rindu pada Islam. Justeru itu, beliau segera menyatakan dirinya keluar daripada agama Yahudi dan memeluk agama Islam. Kemudian beliau datang mengadap Sayyidina Umar al-Khatthab untuk memberitahu tentang keislamannya. Peristiwa tersebut terjadi ketika kaum Muslimin sedang mempersiapkan pasukan peperangan melawan tentera Rom.
Ka’ab memeluk Islam berdasarkan ilmu dan beriman berdasarkan makrifat. Oleh kerana beliau mengetahui melalui kitab Taurat, bahawasanya kaum Mujahidin (daripada umat Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam) pada Hari Kiamat kelak akan mendapat darjat yang paling tinggi, maka dia meminta izin daripada Sayyidina Umar al-Khatthab untuk ikut bergabung bersama para Mujahid Islam untuk memerangi tentera Rom.
Dalam perjalanan, ketika sampai di Syria, beliau menemui seorang pendeta sangat alim yang sedang mengurung-kan dirinya selama 40 tahun dalam biara (tempat pertapaan).
“Siapakah engkau?” tanya pendeta itu. apabila menyedari ada seseorang yang datang ke tempat pertapaannya.
“Aku Ka’ab al-Ahbar, seorang pendeta juga, sekarang nur Islam telah menerangi ke seluruh anggota tubuhku,” sahutnya.
“Wahai Ka’ab, aku pernah mendengar tentang kemasyhuran dirimu, apa keperluanmu datang ke mari?” Tanya pendeta itu kepada Ka’ab al-Ahbar.
Jawab Ka’ab: “Aku ke mari untuk bertanyakan dirimu. Dengan memper-saksikan diriku kepada Allah yang kamu benar-benar beribadah dalam biara ini, apakah benar kerana hanya berdasarkan salah satu ayat Allah dalam kitab Taurat yang berbunyi: “Sesungguhnya para pendeta yang tinggal di biara, mereka ini adalah hamba-hamba Allah yang terpilih di Hari Kiamat nanti?”
Serta merta disahut pendeta itu: “Demi Allah memang benar.”
Ka’ab menambah: “Adakah kamu menemukan sebuah ayat dalam Taurat yang menegaskan: “Tanda orang-orang yang berjihad, badannya penuh debu, anak-anak mereka menjadi yatim piatu serta isteri-isteri mereka menjadi janda kerana kepergian mereka, padahal sebenarnya isteri-isteri mereka tidak janda - mereka memikul perbendaharaan perang di atas bahu mereka dan mereka menempuh perjalanan jauh demi berjihad di jalan Allah. Mereka itukah hamba-hamba Allah yang terpilih?”
“Demi Allah benar,” sahut pendita.
Ka’ab menjelaskan: “Sebenarnya apa yang dimaksudkan dengan ayat ini bukanlah pertapaan para pendeta yang tinggal di biara-biara, tetapi mereka adalah umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wasallam yang berperang di jalan Allah, bukannya biara tempat mengurungkan diri seperti yang engkau lakukan ini.”
Setelah mendengar ucapan Ka’ab, maka gementarlah pendeta Yahudi itu dan segera turun dari biaranya, kemudian mengisytiharkan dirinya masuk Islam dan bersedia berperang melawan tentera Rom bersama Ka’ab. Mendengar berita tersebut khalifah Umar al-Khatthab sangat suka dan mengkaguminya kerana mereka berdua terdiri daripada pendeta yang sangat terkenal.
Selain berjihad melalui lisan dan pedang, Ka’ab berusaha menghafal al-Qur’an sehingga akhirnya berjaya menghafal sebagaimana beliau menghafal Kitab Taurat. Akhirnya tertera nama Ka’ab dalam sejarah sebagai salah seorang mubaligh Islam yang dapat menghafal dua Kitab Allah. Selain itu, Ka’ab juga menghafal hadis Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam sehinggalah jiwanya benar-benar menghayati Islam. Disebabkan keahliannya itu, Ka’ab sering diundang ke majlis ilmu yang dihadiri oleh penduduk setempat untuk menyampaikan nasihat dan dakwahnya.
Pada satu hari beliau menjawab pertanyaan khalifah Umar al-Khattab tentang kematian: “Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya kematian itu ibarat sebuah ranting pohon yang banyak durinya. Ketika ranting dahan itu masuk ke dalam tubuh seseorang, maka duri-duri tersebut akan menyakiti setiap urat yang terdapat dalam tubuhnya. Urat itu kemudian terkoyak jika terkena duri, bila tidak terkena duri, maka ia akan tetap selamat.” Kemudian Umar bertanya tentang maksud ayat:
Tafsirnya: Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan membakar mereka dalam api neraka. Tiap-tiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu.” (Surah an-Nisâ’:56)
Jawab Ka’ab. “Sesungguhnya keterangan ayat di atas telah aku fahami sebelum aku memeluk Islam lagi. Bahawasanya Allah Subhanahu wata’ala akan menggantikan kulit mereka itu sebanyak 120 kali dalam waktu satu detik.”
Kata Umar: “Kamu benar, aku juga telah mendengarkan penjelasan ayat itu daripada Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.”
Manakala Ka’ab ditanya tentang sifat-sifat Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam dan para pengikutnya dalam Kitab Taurat, beliau menjawab: “Tertulis dalam Kitab Taurat, Muhammad itu adalah seorang hambaKu yang tidak lemah dan juga tidak keras, patuh dan terpilih. Dia tidak pernah berdusta dalam niaganya di pasar, tidak pernah membalas kejahatan dengan kejahatan, sebaliknya, dia seorang pemaaf dan pengampun.”
Di dalam kitab Taurat juga disebutkan Muhammad dilahirkan di Makkah, tetapi kemudian berhijrah ke Madinah, sebuah negeri yang sangat makmur. Umatnya adalah orang-orang yang selalu mengagungkan Allah setiap masa, baik dalam suka mahupun duka. Mereka bertakbir kepada Allah setiap kali mereka berada di tempat yang tinggi dan selalu bertasbih kepada Allah di tempat yang rendah. Dalam sembahyang, suara mereka bergema bagaikan suara lebah dalam gua batu. Mereka selalu membetulkan barisan saf-saf untuk sembahyang berjemaah sebagaimana mereka lakukan keadaan yang sama apabila bersedia untuk menghadapi musuh-musuh mereka di medan peperangan. Para malaikat berada di barisan depan dan belakang mereka, Allah sentiasa bersama mereka ketika mereka menghadapi peperangan fisabilillah.
Ka’ab selalu menangis di saat beribadat kepada Allah, janggutnya selalu basah oleh air mata. Ketika salah seorang sahabatnya, Abdullah Ibn Syaqiq al-Uqaili bertanya kepadanya tentang masalah itu, beliau menjawab: “Menangis kerana takut kepada Allah sehingga air mata membasahi pipi itu lebih baik daripada bersedekah segunung emas.”
Daripada seorang pendeta Yahudi terulung yang menguasai kitab Taurat akhirnya beliau menjadi seorang ulama dan pendakwah yang menguasai Kitab al-Qur’an dan menghafal hadis-hadis Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Demikianlah kehidupan Ka’ab al-Ahbar yang hatinya diterangi oleh iman dan taqwa. Pada tahun ke-32H, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir dan jenazahnya dikebumikan di kota Aleppo, Syria. Perjalanan hidupnya akan tetap bersinar bagaikan sebutir bintang kejora di dalam lintasan sejarah.
Dipetik dari kitab Hayat Ash-Shalihin Syeikh Abdul Mun’im.

1 comment:

valentinopaap said...

Wynn Palace and Encore at Wynn Hotel in Las Vegas - KTNV
Wynn Palace and 논산 출장마사지 Encore Las Vegas. Rates from USD 거제 출장마사지 7.50. 서울특별 출장안마 List price 익산 출장마사지 history and reviews. Details. Phone 고양 출장안마 Number. Email. More information.