Seorang lelaki yang belum berkahwin tentu mengimpikan atau bercita-cita untuk memiliki seorang isteri yang boleh memberi kebahagiaan zahir dan batin serta memberi ketenangan dalam hidup berumah-tangga. Mereka yakin hanya wanita yang ‘baik atau terpilih’ saja yang boleh memberi ketenangan tersebut.
Itulah sebenarnya fitrah semula-jadi kaum lelaki yang inginkan agar wanita yang bakal menjadi teman hidupnya boleh menjadi sumber ketenangan, kebahagiaan dan kegembiraan dalam rumahtangganya demi untuk menyambung zuriatnya.
Bagaimanapun, tidak semua isteri boleh memberi ketenangan hidup kepada suaminya, malah ada pula yang berani berlaku curang terhadap suaminya. Di rumah dia menjadi milik suaminya tetapi di luar dia menjadi hak orang lain.
Hal seumpama ini biasanya terjadi apabila seorang isteri itu tidak mempunyai iman yang kukuh, mudah terpengaruh dan terpedaya dengan pujuk rayu serta pujian yang diberikan, lebih-lebih lagi jika wanita tersebut cinta kepada kebendaan dan kemewahan yang mungkin tidak diperolehinya daripada suaminya.
Isteri yang malang akan terperangkap dan akan hilanglah keindahan hidup dalam rumahtangga kerana hatinya sudah terpaut kepada lelaki lain. Perasaan cinta serta kasih sayangnya telah berbelah bagi. Perhatiannya terhadap suami sudah tidak seperti dulu lagi. Malah ada yang mahu melarikan diri daripada ikatan suami apabila semakin hari semakin nampak kelemahan dan kecacatan yang ada pada suaminya. Maka mulalah dia berfikir dan berangan untuk hidup di samping lelaki yang menjadi pujaannya itu, sehingga layanan terhadap suami semakin berkurangan yang kadang-kadang boleh menimbulkan pertengkaran.
Terdapat sebuah kisah, yang mengisahkan tentang seorang wanita muda yang telah bersuamikan seorang lelaki tua. Wanita tersebut terpaksa pergi ke pasar setiap hari untuk membeli keperluannya, disebabkan oleh suaminya yang telah uzur dan tua.
Di pasar dia telah bertemu dengan seorang penjual muda yang sangat kacak. Pada mulanya tidak terlintas di hati wanita itu terhadap penjual tersebut. Tetapi setelah kerap kali berjumpa, timbul pula perasaan lain di dalam hatinya. Hatinya mula membandingkan lelaki itu dengan suaminya, sehingga dia merasakan bahawa hatinya telah mula terpikat kepada pemuda itu. Akan tetapi disebabkan keimanan yang dimilikinya, dia mula menyedari bahawa dia telah melakukan dosa kerana berfikiran yang bukan- bukan.
Lalu, apabila saja dia sampai ke rumah, dia pun mengadukan hal tersebut kepada suaminya dan meminta supaya dia tidak pergi ke pasar lagi, semata-mata bagi memelihara dirinya daripada perkara yang tidak diingini.
Begitulah kisah seorang wanita yang beriman dan solehah. Tetapi bagaimana halnya jika perkara ini terjadi kepada kaum wanita yang imannya tidak kukuh? Sudah pasti akan terjadi hal yang disebaliknya pula.
Ini adalah di antara punca keretakan sesebuah rumahtangga disebabkan oleh sikap isteri itu sendiri. Terdapat para isteri yang merasakan melayani suami itu merupakan satu beban kepada mereka. Malah ada yang berani berpendapat bahawa memuliakan dan mentaati suami itu sudah tidak sepatutnya dilakukan lagi dan menganggapnya suatu penghinaan kepada kaum wanita.
Sebenarnya di antara ciri-ciri isteri yang baik ialah mereka yang dapat memberikan kasih sayang dan ketaatan kepada suaminya, sentiasa mencari-cari apa saja perkara yang boleh menyenangkan hatinya, mencari apa yang menjadi keghairahannya dan menjauhkan apa yang tidak disukainya, dan merasa sangat takut untuk melakukan perkara yang boleh menggugat kebahagiaan rumahtangga.
Daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu dia berkata: “Ditanya orang: “Ya Rasulullah manakah wanita yang baik?” Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam menjawab:
“Wanita yang baik ialah wanita (isteri) yang selalu menggembira-kan suaminya, bila suaminya melihat kepadanya, dia selalu patuh, bila suaminya memerintah-nya, dia tidak mahu melanggarnya baik pada diri peribadinya, mahupun harta bendanya menurut yang tidak disukai suaminya.”
Siti Fatimah az-Zahra puteri Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, pernah secara tidak sengaja telah membuat suaminya Sayidina Ali Radhiallahu ‘anhu merasa tersinggung. Lalu dia telah mengelilingi Sayidina Ali sebanyak 72 kali memohon kemaafan dan keredhaan daripadanya. Perbuatannya mengelilingi Sayidina Ali itu telah menyebab-kan beliau ketawa, yakni redha kembali pada isterinya Siti Fatimah. Tapi Siti Fatimah masih bimbang dan terus mengadu kepada Rasulullah. Apa kata Rasulullah terhadap peristiwa itu? Sabda baginda:
“Wahai Siti Fatimah, kalau engkau mati dalam keadaan Ali tidak redha padanya nescaya aku ayahandamu tidak akan menyembahyangkan jenazahmu.”
Begitulah, betapa pentingnya para isteri menjaga hati suami supaya mereka tidak merasa tersinggung, apa lagi kalau perbuatan itu boleh menimbulkan kemarahan dan kebencian di hati mereka. Moga-moga perkara ini dijauhkan di dalam rumahtangga kita. Biarlah kita menjadi wanita penenang dan penyejuk hati suami dalam rumahtangga sepertimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda mencintai tiga perkara iaitu sembahyang, wangi-wangian dan wanita solehah. Isteri yang baik akan menjadi perhiasan yang tinggi nilainya dalam rumahtangga, sumber penyejuk dan kebahagiaan hati suami. Memandangnya sudah cukup membuatkan suami lupa pada masalahnya, merasa ringan daripada segala bebanan, tenang untuk menghadapi hari esok kerana di sampingnya ada satu kuasa atau sumber yang memberi kekuatan dan ketenangan hati dengan izin Allah Subhanahu wataala.
Berbahagialah suami yang memiliki isteri-isteri sepertimana yang difirmankan Allah dalam surah an-Nisâ ayat 34 yang bermaksud:
“Maka isteri (wanita-wanita) yang baik itu ialah mereka yang setia kepada suaminya, mereka selalu memelihara kehormatan dirinya selama suaminya tiada di rumah, sebagaimana Allah telah memeliharanya.”
Memang Allah menjadikan wanita itu sebagai pelengkap hidup bagi lelaki. Hiburan yang tertinggi bagi seorang lelaki ialah wanita yang dihalalkan baginya iaitu isteri yang telah dikahwini secara sah menurut syara’, yang akan melayani keperluan-keperluannya secara zahir dan batin. Betapa bernilainya layanan seorang isteri kepada suami kerana layanan itulah yang akan dapat menyelamatkan suami daripada mencari hiburan dan ketenangan di luar rumah. Sekali gus boleh menyelamatkan para suami daripada terjerumus ke lembah dosa.
Begitu juga layanan daripada segi seksual amat penting apabila suami memerlukannya. Sehingga Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam pernah berpesan dalam hadisnya kepada para isteri supaya dapat melayani keinginan suami sekalipun ketika itu mereka berada di atas belakang unta. Ini bermakana wajib ditunaikan. Tetapi, sebahagian wanita yang kurang ilmu pengetahuan mengenai kewajipan ini beranggapan perkara sebegini tidak masuk akal, malah seolah-olah suami hanya mengikutkan hawa nafsu semata-mata.
Jangan sampai disebabkan oleh terlalu letih bekerja, isteri merasa keberatan untuk menunaikan hajat suami sehingga suami berasa kecil hati dan tersinggung. Isteri-isteri yang sedemikian akan mendapat laknat Allah sebagaimana hadis Rasulullah daripada Abu Hurairah Radhiallahu anhu daripada Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam, bersabda yang bermaksud:
“Bila seorang suami mengajak isterinya ke tempat tidurnya (untuk menggaulinya), tetapi dia enggan, maka dia akan dikutuk oleh malaikat hingga waktu Subuh.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Jika para isteri betul-betul dapat menyediakan diri dan rumah-tangga sebagai sumber dan tempat suami serta ahli keluarga mendapat ketenangan, insya Allah suami itu akan semakin bersungguh-sungguh untuk beribadah, sehingga membolehkan dia keluar rumah, tanpa menaruh perasaan bimbang mengenainya. Fikirannya akan berasa tenang di dalam melaksana-kan tugasnya di tempat kerja.
Ketenangan suami akan membolehkannya mencapai kejayaan hidup dan boleh menghalangnya daripada bertindak liar dan berlaku curang di belakang isteri.
Tuesday, 10 February 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment