Pada Hari Raya ‘Idil Adha dan hari-hari Tasyrieq, iaitu pada 11, 12
dan 13 Zulhijjah, amalan menyembelih korban giat dilaksanakan di
sana sini. Kebiasaannya pada waktu tersebut juga dilakukan
pembahagian daging-daging korban untuk diagih-agihkan kepada
mereka yang berhak menerimanya.
Seperti yang diketahui, pembahagian daging korban adalah
berpandukan sepertimana yang disyariatkan oleh syara‘. Hasilnya,
pembahagian daging korban dilakukan dengan penuh cermat dan
berhati-hati, serta menjaga segala aspek yang dituntut oleh syara‘.
Jika proses ibadah korban bermula dari pemilikan binatang
sehinggalah kepada pembahagian daging korban diberi perhatian
agar selari dengan kehendak syara‘, maka adalah wajar jika usaha
yang sama ditumpukan juga kepada aspek si penerimanya pula.
Apa yang dimaksudkan di sini ialah bagaimana daging tersebut
diperlakukan setelah berada di tangan orang yang menerimanya,
sama ada melalui sedekah ataupun hadiah.
Oleh yang demikian, perbincangan pada kali ini adalah khusus
mengenai golongan orang kaya yang dihadiahkan daging korban,
serta perkara yang diharuskan dan dilarang oleh syara‘ kepada
mereka.
Pembahagian Daging Korban Sunat
Secara ringkas, seorang yang menyembelih korban sunat untuk
dirinya, adalah disunatkan membahagi daging binatang korban
tersebut kepada tiga bahagian seperti berikut:
1. Sepertiga (1/3) untuk dirinya.
Disunatkan bagi orang yang berkorban itu memakan
sebahagian daripada sepertiga sembelihan korbannya
sebagai mengambil berkat. Afdhal baginya memakan hati
binatang tersebut kerana mengikut sunnah Rasulullah
Shallallahu ‘alaihi wasallam.
2. Sepertiga (1/3) untuk disedekahkan kepada fakir miskin.
Sepertiga yang disedekahkan kepada golongan fakir miskin
itu wajib dalam keadaan mentah, iaitu tidak dimasak.
Menurut Imam ar-Ramli Rahimahullah Ta‘ala, maksud fakir
miskin di sini adalah sesiapa yang dihalalkan baginya
(menerima) zakat.
Maka hak orang fakir miskin pada daging tersebut adalah
untuk dimiliki. Adapun maksud ‘milik’ di sini ialah
diharuskan baginya:
i) Memakan daging tersebut;
ii) Menjual dan seumpamanya.
Dapat difahami di sini bahawa golongan fakir miskin juga
boleh memberikan daging korban tersebut kepada orang
Islam yang lain, sama ada dalam keadaan mentah ataupun
sudah dimasak, sama ada kepada orang miskin atau orang
kaya.
3. Sepertiga (1/3) untuk dihadiahkan kepada orang kaya.
Sepertiga yang terakhir pula dihadiahkan kepada golongan
kaya, sama ada masih dalam keadan mentah, ataupun daging
tersebut dimasak kemudian dijemput golongan kaya tadi dan
dijamu makanan tersebut kepada mereka. Menurut Imam ar-
Ramli Rahimahullah Ta‘ala, maksud orang kaya di sini
adalah mereka yang diharamkan (menerima) zakat. Mereka
boleh jadi terdiri daripada ahli-keluarga, saudara-mara, jirantetangga,
sahabat-handai, para pekerja dan yang
seumpamanya (yang bukan daripada golongan fakir miskin).
Selain daripada orang kaya itu sendiri, diharuskan juga bagi
ahli keluarganya seperti isteri dan anak-anaknya dan
seumpamanya untuk menikmati daging korban tersebut.
Sekiranya golongan kaya ini dijemput ke rumah orang yang
berkorban (mudhahhi) dan dijamu dengan daging korban
yang sudah dimasak, maka haknya pada makanan itu adalah
setakat untuk dimakannya sahaja. Kerana itu, adab-adab
sebagai tetamu hendaklah juga dijaga dan dipelihara,
khususnya semasa dalam majlis tersebut, antaranya dia tidak
boleh dengan sewenang-wenangnya memberi makanan
tersebut kepada kucing dan seumpamanya atau
menyedekahkannya atau memberikannya kepada orang lain.
Jika sekiranya makanan tersebut dibawa balik, maka ahli
keluarga orang kaya yang dijamu tadi juga termasuk orang
yang diharuskan memakannya.
Daging Korban Pada Orang Kaya Melebihi Dari Mencukupi
Seperti yang sudah dijelaskan, dalam perkara korban sunat,
golongan kaya juga menerima pembahagian daging korban.
Namun kadang-kala apa yang berlaku ialah daging mentah yang
dihadiahkan itu, sama ada yang masih segar atau yang sudah
dibekukan, iaitu yang disimpan dalam peti sejuk beku (freezer),
dirasakan terlalu banyak atau melebihi daripada mencukupi. Jika
golongan orang kaya yang dihadiahkan daging tadi bercadang
hendak memberikan pula daging tersebut kepada saudara mara,
jiran, rakan-rakan atau seumpamanya, bagaimanakah cara yang
dibenarkan untuknya memberi atau menghadiahkan daging korban
tersebut kepada orang lain? Maka penjelasan ringkas mengenai
perkara ini adalah seperti berikut.
Perkara Yang Diharuskan Dan Dilarang
Seringkali timbul kekeliruan yang mengatakan bahawa apabila
orang kaya dihadiahkan daging korban, ini bererti dia
‘memilikinya’ dan boleh melakukan sebagaimana yang
dikehendakinya terhadap daging tersebut sepertimana orang fakir
miskin ‘memiliki’ daging korban.
Hukum golongan kaya yang dihadiahkan daging korban berbeza
dengan golongan fakir miskin. Ini kerana menurut syara‘, pada
asalnya bahagian daging yang dihadiahkan kepada orang kaya itu
hanyalah setakat untuk dimakannya sahaja dan bukan untuk
‘dimiliki’ seperti untuk dijual atau untuk tujuan lain seumpamanya.
Hukum mengenai orang kaya tidak ‘memiliki’ daging korban
adalah muktamad, sekalipun orang yang berkorban itu berkata
kepada penerima yang kaya, umpamanya:
“Aku hadiahkan kepada kamu daging (korban) ini (untuk) menjadi
milik kamu, dan lakukanlah sepertimana yang kamu kehendaki”.
Menurut beberapa ulama, hukumnya adalah tidak harus, malahan
haram bagi golongan kaya untuk ‘memiliki’ daging tersebut,
dengan erti kata untuk menjual atau seumpamanya, melainkan
terhad kepada beberapa perkara yang diharuskan oleh syara‘.
Oleh yang demikian, menurut syara‘ apabila orang kaya
dihadiahkan daging korban yang mentah, maka dia, dan termasuk
warisnya, hanya diharuskan setakat:
1. Memakannya.
Dilarang menjual dan yang seumpamanya daging korban
tersebut.
2. Menyedekahkannya dalam keadaan mentah kepada fakir miskin
yang Islam.
Dilarang menghadiahkan daging korban yang mentah kepada
golongan kaya.
3. Menjamu orang Islam.
Iaitu dengan memasak daging korban tersebut kemudian
menjamu makanan tersebut kepada orang-orang Islam sama ada
mereka itu terdiri daripada golongan fakir miskin ataupun
golongan kaya.
Dilarang:
i. Menjual dan yang seumpamanya daging korban yang sudah
dimasak.
ii. Secara mutlak menjamu orang bukan Islam (kafir), sama ada
miskin atau kaya. Larangan ini bukan sahaja terhad kepada
orang yang berkorban itu sendiri (mudhahhi), bahkan juga
dilarang dilakukan oleh fakir miskin yang disedekahkan dan
orang kaya yang dihadiahkan daging korban.
Antara perkara yang utama yang perlu diingat bahawa daging
korban itu, sama ada yang masih mentah ataupun yang sudah
dimasak, dilarang secara mutlak untuk diberikan, disedekahkan
atau dihadiahkan kepada orang bukan Islam. Oleh itu, tidak
boleh malahan dilarang ke atas orang yang berkorban ataupun fakir
miskin dan juga orang kaya yang menerima daging korban itu
memberikan, menghadiahkan atau menyedekahkannya kepada
orang bukan Islam.
Berdasarkan penjelasan di atas, maka sewajarnya bagi mereka
yang diberikan atau menerima daging korban, lebih-lebih lagi yang
sudah dimasak, supaya berhati-hati agar daging korban itu tidak
dijamu atau dihidangkan kepada ahli keluarga, saudara-mara, jiran,
sahabat atau pekerja yang bukan beragama Islam.
Selain daripada itu, menurut ulama, sekiranya seorang kaya yang
dihadiahkan daging korban itu meninggal dunia sebelum sempat
memakannya atau menghadiahkannya, maka ahli waris si mati tadi
tetap juga dituntut untuk memelihara perkara yang dilarang dan
diharuskan oleh syara‘ terhadap daging korban tersebut
sepertimana yang dikenakan ke atas orang kaya yang pada asalnya
dihadiahkan daging tersebut. Ini bermakna hak pewaris orang kaya
terhadap daging korban tersebut hanya setakat untuk dimakan atau
disedekahkan atau untuk dijamu kepada fakir miskin dan orang
kaya di kalangan orang Islam.
Sebagai kesimpulan, golongan orang kaya yang menerima daging
korban hendaklah berwaspada dan berhati-hati terhadap daging
yang telah dihadiahkan kepada mereka agar terhindar dari
melakukan sebarang perkara yang menyalahi hukum syara‘. Ini
kerana sekalipun dihadiahkan daging korban bukan bererti
‘memilikinya’. Terdapat syarat-syarat yang wajib dipatuhi seperti
tidak memberikannya kepada orang bukan Islam sama ada yang
mentah ataupun yang sudah dimasak. Dia juga tidak mempunyai
hak untuk menjual atau seumpamanya, melainkan hanyalah untuk
dimakannya serta keluarganya, atau menyedekahkannya kepada
fakir miskin dalam keadaan mentah ataupun memasaknya
kemudian menjamu tetamunya di kalangan orang Islam, sama ada
golongan fakir miskin dan juga orang kaya.
Tuesday, 3 February 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment