Sunday 7 September 2008

ISU MEMBAWA ALAT YANG MENGANDUNGI PERISIAN AL-QURAN KE TANDAS

HUKUM MEMBAWA ALAT YANG
MENGANDUNGI PERISIAN AL-QUR’AN KE TANDAS


Dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia melalui
keajaiban akal dan ilham yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. telah berjaya mencipta alat-alat yang serba canggih.

Al-Qur’an yang dahulunya hanya dapat dibaca melalui kertas ataupun mushaf kini, sudah dapat dimuatkan ke dalam alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA (Personal Digital Assistant).

Oleh kerana alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA
(Personal Digital Assistant) ini sangat penting penggunaannya
dalam kehidupan masa kini, maka sudah semacam kemestian ianya sentiasa dibawa bersama ke mana-mana sahaja termasuklah ketandas.

Sebagaimana yang dimaklumi, ayat-ayat al-Qur’an adalah
kalamullah yang wajib dihormati, dimuliakan dan dijaga sedaya upaya atau sebaik-baiknya agar ianya tidak terdedah kepada sebarang pencemaran atau penghinaan yang boleh menjejaskankesuciannya.

Jadi di sini, timbullah persoalan mengenai kehormatan perisian al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut. Adakah membawanya bersama masuk ke tandas, ataupun membawanya dalam keadaan berhadas akan mencemarkan kesucian al-Qur’an?


HUKUM MEMBAWA TULISAN AYAT AL-QUR’AN KE TANDAS


1- Membawa apa sahaja benda yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an mahupun zikrullah ke tandas hukumnya adalah makruh.

2- Termasuk juga dalam hal ini, nama-nama yang dimuliakan seperti nama-nama Allah, para nabi dan malaikat-malaikatNya sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.

3- Imam asy-Syirazi Rahimahullah berkata dalam kitabnya al-Muhadzdzab : “Jika ada seseorang ingin memasuki tandas dan
bersama-samanya ada sesuatu yang terdapat padanya zikir-zikir Allah, maka baginya menjauhkan benda tersebut daripada dirinya (tidak membawanya masuk ke tandas).

Kerana telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya NabiShallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak memasuki tandas, Baginda meletakkan cincin Baginda itu di luar, ini kerana di atas cincin Baginda itu ada tertulis perkataan الله رسول محمد yang Baginda jadikan sebagai mohor atau cap Baginda dalam urusan surat menyurat.”





3- Imam an-Nawawi Rahimahullah ketika mengulas kata-kata pengarang kitab al-Muhadzzab ini telah berkata : “Para ulama asy-Syafi‘eyyah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah sunat dijauhkan sesuatu yang ada padanya zikir-zikir Allah ketika seseorang itu hendak masuk tandas dan tidaklah wajib ianya dijauhkan daripada dirinya (membukanya).”


Imam an-Nawawi Rahimahullah seterusnya menambah: “Sama ada benda yang tertulis padanya zikir-zikir Allah itu duit perak (dirham) atau emas (dinar) atau cincin atau lainnya.

Begitu juga jika ada bersama-samanya tangkal ataupun azimat, sunat dijauhkan benda-benda itu daripada dirinya ketika hendak memasuki tandas.”

Ini bertujuan bagi memuliakan ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dan sebagai mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang meletakkan cincin Baginda (di luar) apabila hendak masuk ke tandas kerana terdapatpadanya ukiran perkataan الله رسول محمد .


ADAKAH ALAT YANG MENGANDUNGI PERISIAN AL-QUR’AN DIHUKUMKAN SEBAGAI AL-QUR’AN ?


1- Para ulama berpendapat bahawa ayat yang ditulis pada sesuatu dengan tujuan untuk mengaji atau mempelajari ayat al-Qur’an adalah haram disentuh atau dipegang atau dibawa oleh orang yang berhadas.

2- Adapun ayat-ayat yang ditulis bukan kerana tujuan mengaji atau belajar membaca ayat tersebut, umpamanya ayat al-Qur’an yang ditulis sebagai tangkal dan azimat maka harus disentuh atau dibawa atau dipegang oleh orang yang berhadas.

3- Adapun alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang terdapat padanya perisian al-Qur’an, tidaklahdihukumkan sebagai al-Qur’an sungguhpun ianya diniatkan untuk mengaji atau mempelajari ayat-ayat al-Qur’an tersebut.
Ini kerana pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk elektronik dan tidak kekal.

Begitu juga bacaan al-Qur’an yang berbunyi dari alat tersebut adalah berbentuk rakaman.

Ia akan terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau dialihkan keprogram yang lain.

Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk membawa atau
menyentuhnya dalam keadaan berhadas kerana sebagaimana yang telah disebutkan tadi bahawa alat-alat tersebut tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an.

HUKUM MEMBAWA MASUK ALAT PERISIAN AL-QUR’AN KE TANDAS


a- Dalam kitab Nihayah al-Muhtaj karangan Imam ar-Ramli Rahimahullah, beliau berpendapat bahawa benda-benda yang tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an, atau nama-nama yang tidak dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas.

b- Begitu juga, jumhur ulama tidak menegah untuk membawa benda-benda selain zikir Allah ke tandas.



c- Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahawa adalah harus hukumnya membawa masuk alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya ke tandas dengan syarat unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an itu tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada di tandas.

d- Dalam erti kata lain, alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu hendaklah dimatikan ataupun dialihkan program al-Qur’an itu ke program yang lain sebelum masuk ke tempat-tempat
kotor seperti tandas supaya unsur tulisan dan bacaan ayat
al-Qur’an tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada dalam tandas.

Ini berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami
Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj, beliau berkata:

“….Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya
(cincin yang tertulis padanya al-Qur’an); walaupun dengan
senghaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti
menggenggamnya dalam tapak tangan.”

e- Dengan mematikan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu, ataupun mengalihkannya kepada program lain sebelum memasuki tandas, maka terpeliharalah kesucian ayat al-Qur’an atau tafsirnya yang terdapat dalam alat-alat tersebut kerana ianya tidak akan muncul ketika berada dalam tandas.



f- Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menjelaskan , bahawa selain tandas, semua tempat-tempat kotor atau tempat-tempat maksiat dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan.

Maka menurut pendapat ini, tempat-tempat tari
menari, kawasan perzinaan, kedai judi, tempat yang mengamalkan riba dan yang seumpamanya, dan termasuk juga dalam hal ini tanah perkuburan orang-orang kafir adalah sama keadaannya sepertimana hukum membawa ayat-ayat al-Qur’an ke tandas.

KESIMPULAN

Tidak kira di mana pun ayat-ayat al-Qur’an tersebut, sama ada
pada kertas, tangkal, dinding dan sebagainya ianya masih lagi
dinamakan ayat-ayat al-Qur’an. (Fatwa Mufti Kerajaan Brunei 31/1972).

Maka dalam isu alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an ini, adalah sangat mustahak kepada pemiliknya , agar bersikap lebih berhati-hati dalam menjaga kesucian ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dengan memastikannya ditutup ataupun dialihkan kepada program yang lain sebelum memasuki tempat-tempat yang tidak wajar seperti tandas , ataupun mana-mana tempat yang dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan sepertimana yang telah dijelaskan tadi.

RUJUKAN

1. Irsyad hukum keluaran Jabatan Mufti Kerajaan Brunei.
2. Fatwa Mufti Kerajaan Brunei

No comments: