Wednesday, 10 September 2008

WUDHU' DAN HIKMAHNYA

WUDHU’

PENGERTIAN WUDHU’

Dari segi bahasa, wudhu’ ialah nama bagi sesuatu perbuatan menggunakan air pada anggota-anggota tertentu.

Dari segi syara‘, wudhu’ bermaksud membersihkan sesuatu yang tertentu dengan beberapa perbuatan yang tertentu yang dimulakan dengan niat, iaitu membasuh muka, membasuh kedua-dua belah tangan, menyapu kepala dan akhirnya membasuh kedua belah kaki dengan syarat-syarat dan rukun-rukun yang tertentu.

HUKUM WUDHU’

Hukum wudhu’ adalah seperti berikut:

1. Fardhu :

a-ketika hendak menunaikan ibadah seperti sembahyang, sama ada sembahyang fardhu atau sembahyang sunat, termasuk solat jenazah.

b- ketika sujub tilawah.

c- ketika hendak menyentuh Al-Qur’an ( mushaf ), sekalipun satu ayat Al-Qur’an yang tertulis atas dinding atau sekeping kertas.

2.Wajib :

a- ketika hendak melakukan tawaf Ka‘bah sama ada tawaf fardhu atau sunat.


3. Sunat:
a- membaca atau mendengar bacaan Al-Qur’an,

b- membaca atau mendengar bacaan hadith,

c- membawa kitab tafsir, kitab hadith atau kitab fiqh,

e- melaungkan azan,

f- duduk di dalam masjid,

g- melakukan wuquf di ‘Arafah,

h- melakukan sa‘i,

i- menziarahi makam Rasulullah,

j- ketika hendak tidur dan sebaik sahaja bangkit dari tidur. (Riwayat Ahmad, Bukhari dan Turmizi )

k- selepas mandi dan mengusung jenazah

l- ketika marah.

m- menyampaikan khutbah termasuk khutbah nikah.

n- sebelum mandi junub.

o- ketika dalam berhadas besar iaitu junub, sunat berwudhu’ apa bila mahu makan atau minum atau mahu berjima’ semula (mengulangi jima’ )

( Hadis riwayat Ahmad , Muslim , Nasae)

p- ketika melakukan kesilapan atau kesalahan atau dosa kecil atau kelalaian. (Hadis riwayat Imam Malik, Muslim , Turmizi, Nasae )

q- selepas ketawa terbahak-bahak lebih-lebih sebaik sahaja lepas solat.

r- disunatkan sentiasa berada dalam keadaan berwudhu’ dan memperbaharui wudhu’ ketika menunaikan solat sekalipun wudhu’nya masih ada.

HIKMAH WUDHU’

Pertama : Lima kali sekurang-kurangnya sehari semalam umat diperintahkan berwudhu untukmenunaikan solat.Meskipun wudhu’ tidak batal, namun sunat memperbaharuinya.

Ahli tasawuf menjelaskan hikmah wudhu diantaranya : Mencuci muka, ertinya mencuci mata, hidung, mulut dan lidah, boleh jadi sebelum seseorang itu melakukan dosa ketika melihat atau bercakap atau ketika makan.

Apabila mencuci tangan dengan air, dapat dirasakan di dalam hati seolah-olah membasuh tangan yang terlanjur berbuat salah.
Sama juga apabila membasuh kaki dan anggota lain.

Ahli tasawuf menyatakan hikmat-hikmat tersebut meskipun tidak ada hadis atau dalil yang mereka sandarkan.

Tujuannya adalah supaya manusia jangan membersihkan anggota yang zahirnya saja, padahal bathinnya masih tetap kotor. Hatinya masih penuh dengan kesyirikan, kekufuran, tamak, rakus, sehingga wudhunya lima kali sehari itu tidak diterima Allah, dan seterusnya sembahyangnya tidak dapat menjauhkan dari pada fahsya (keji) dan mungkar (dibenci)".
Kedua : Bukan matlamat hidup mencari puji-pujian, bukan pula supaya kita paling atas di dalam segala hal. Meskipun itu tidak kitaya mencarin, jika kita menjaga kebersihan, kita akan dihormati orang dan orang akan kagum serta puji.

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w: "Perbaguslah pakaianmu, perbaiki tunggangan (kenderaan) mu, sehingga kamu laksana sebutir tahi lalat di tengah-tengah pipi, di dalam pergaulan dengan orang banyak".
Allah s.w.t. menurunkan wahyu untuk memberi hidayah yang membimbing rohani dan jasmani agar kedua-duanya tetap berfungsi dan terpelihara.

Rasulullah s.a.w bersabda:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. pernah pergi ke kuburan, lalu memberi salam : "Assalamu'alaikum Dara Qaumin (perkampungan orang mukmin) dan Insya Allah kami akan menyusul kemudian, saya ingin benar melihat-lihat saudaraku.

Berkata sahabat: "Bukankah kami ini adalah saudaramu ya Rasulullah? "Ya, kamu adalah sahabatku, dan saudara-saudaraku yang belum datang kini."

Sahabat kembali bertanya: "Bagaimanakah engkau dapat mengenal mereka yang belum datang kini dari ummatmu ya Rasulullah?" Rasulullah s.a.w.
bersabda: "Bagaimana pendapatmu jika seorang mempunyai kuda belang putih muka dan kakinya, ditengah-tengah kuda yang semuanya hitam, tidakkah mudah mengenal kudanya?"

Para sahabat menjawab : "Benar Ya Rasulullah." "Maka itu ummatku nanti kelak pada hari kiamat bercahaya muka dan kakinya sebagai bekas wudhu, dan saya akan membimbing mereka itu ke Haudh (Telaga Syafa'at)"
Manakala seorang muslim atau mukmin itu berwudhu, lalu ia membasuh mukanya, maka keluarlah dari mukanya itu semua dosa yang dilihat oleh matanya bersama air atau bersama titisan yang terakhir dari air.

Manakala ia membasuh kedua tangannya, maka keluarlah (terusir) semua dosa yang tersentuh oleh kedua tangannya bersama air atau bersama-sama dengan titisan terakhir dari air.

Manakala ia membasuh kedua kakinya, maka sirnalah semua dosa yang pernah dijalani oleh kakinya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir, sehingga keluar (selesailah) dalam keadaan bersih dari dosa-dosa." ( Imam Muslim dari Abu Hurairah).

CAHAYA KEBERSIHAN DAN KEHIDUPAN

Wudhu dengan air bersih dan murni bererti meniti kosmetik tradisional
dan anti biotik alamiah, kerana itu, Islam tidak membenarkan berwudhu dengan air musta'mal (air bekas dipakai), air buah-buahan, akar-akaran atau air yang sudah berubah sifat-sifatnya (warna, rasa dan baunya).

Dalam air wudhu yang terdapat cahaya kebersihan dan kehidupan. Air mus'tamal atau terkena najis akan menjadi punca penyakit.
Islam pun melarang berwudhu dengan air yang terkena.Air musta’mal mengikut hukum fekah sucu tetapi tidak menyusikan.
Air sebagai keperluan kehidupan.

Al-Qur'an memberi penjelasan bahawa kehidupan dimulai dari air, sebagaimana disebutkan dalam firmannya:
"Dan kami telah menciptakan segala sesuatu yang hidup itu dari air, apakah mereka belum mau juga beriman?" (Al-Anbiya:30).Hikmah berwudhu’ ialah kerana anggota-anggota tersebut terdedah kepada kekotoran yang zahir seperti habuk, debu dan lain-lain serta banyak juga
terdedah dengan dosa dan maksiat.

HADIR TANPA DIUNDANG : APA HUKUMNYA

HADIR TANPA DIUNDANG : APA HUKUMNYA
Mengadakan majlis jamuan dalam bahasa Arab disebut sebagai walimah.
Walimah bermaksud setiap hidangan makanan yang diadakan atau disediakan atas sesuatu sebab atau sempena yang menggembirakan.

Hukum Mengadakan Jamuan

Hukum mengadakan majlis jamuan adalah sunat kerana menzahirkan rasa syukur atas nikmat Allah yang diperolehi.
Manakala mengadakan majlis atau undangan perkahwinan pula hukumnya sunat mu’akkadah kerana perkara ini sabit daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Penggunaan Perkataan Walimah

Perkataan walimah seringkali digunakan dan lebih tersohor penggunaannya untuk majlis perkahwinan, namun ianya juga boleh digunakan untuk sebarang majlis yang lebih umum.
Maka penggunaan perkataan walimah dalam perbincangan pada kali ini memberi maksud lebih umum daripada walimah perkahwinan.

Isu-Isu Dalam Membuat Undandan Dan Menerima Undangan

a- Barangsiapa yang menyediakan makanan, dengan niat menjamu seseorang, bolehlah memilih samada menghantar makanan tersebut ke rumah sesiapa yang ditentukannya atau dia menjemput atau mengundang tetamu tersebut hadir kerumahnya untuk menikmati hidangan yang disediakannya di rumahnya.

b- Di samping itu, apabila ingin menjemput atau mengundang seorang tetamu, sunat juga menyertakan undangan untuk orang-orang yang rapat kepada tetamu tersebut.
Bagaimanpun tetamu yang telah dijemput itu janganlah menolak (menghampakan) sesuatu undangan, sekalipun tuan punya majlis tidak mengizinkan sebahagian daripada sahabat tetamunya itu untuk hadir bersamanya.

c- Perlu diingat, mana-mana orang yang ingin mengadakan hidangan makanan bagi satu jemaah (kumpulan), maka sesuaikanlah mengikut kadar jumlah mereka.
Sekalipun dia tidak mampu menyediakan lebih dari itu, asalkan tidak kurang. Walau bagaimanapun, pembaziran hendaklah dielakkan kerana perbuatan tersebut dilarang oleh agama.

Hadir Tanpa Diundang

Istilah asal dalam bahasa Arab mengenai perbuatan hadir tanpa diundang disebut sebagai at-tathfil dari perkataan tathafful.
Maka Thufaili ialah seorang tetamu yang hadir tanpa diundang atau dijemput yang dimansubkan ( disandarkan sejarahnya ) kepada seorang lelaki yang berasal dari Kufah yang seringkali menghadiri majlis-majlis walimah tanpa dijemput.

1. Imam al-Baijuri Rahimahullah menyatakan adalah haram hukumnya menghadiri majlis tanpa diundang kecuali jika dia tahu bahawa tuan rumah itu berniat untuk bersedekah atau sebagainya dan redha dengan kehadirannya.
2. Jika sesuatu majlis itu dan tetamu yang diundang bersifat khas, maka wajib tetamu tersebut menghadiri undangan itu.
Maksud “tetamu yang bersifat khas” di sini ialah tetamu yang telah ditentukan orangnya oleh tuan punya majlis atau wakilnya.

3. Adapun menghadiri suatu majlis khas tanpa dijemput, maka hukumnya adalah haram. Melainkan dia mengetahui tuan punya majlis itu redha dengan kehadirannya dan di antara tuan majlis dan tetamu itu keduanya saling kenal-mengenali dan mempunyai hubungan yang rapat atau mesra.

4. Jika suatu majlis itu dan tetamu yang diundang bersifat umum, maka dalam keadaan ini tidaklah termasuk dalam larangan.
Maka tidak haram hukumnya dia hadir ke majlis tersebut walaupun tanpa undangan khas.
Contohnya ialah:

Tuan rumah mengatakan pada seseorang: “Panggillah dan jemputlah sesiapa yang kamu mahu atau sesiapa yang kamu temui.”

Tuan rumah atau wakilnya membuka pintu rumahnya dan berkata: “Sesiapa saja boleh masuk dan hadir ke majlis ini.”

Membawa Individu Lain Yang Tidak Termasuk Dalam Undangan

a- Menurut Imam an-Nawawi dalam Kitab al-Majmu‘, antara adab makan dalam sesuatu jamuan, janganlah dia hadir dengan membawa teman yang tidak dijemput oleh tuan punya majlis.
Andainya dia hadir dengan membawa seseorang bersamanya ke majlis tersebut, maka dia telah melakukan sesuatu yang buruk.

b- Jika tuan punya majlis telah membuat undangan bagi satu kumpulan yang telah ditentukan orang-orangnya, tiba-tiba hadir bersama mereka seorang lain yang tidak dijemput atau ditentukan, maka dalam hal ini dia tetap tidak termasuk dalam senarai tetamu yang diundang.

c- Berbeza hukumnya , jika tuan punya majlis mengatakan kepada wakil atau utusannya: “Jemputlah si Polan dan sesiapa yang ada bersamanya”.
Maka bolehlah sesiapa yang ada bersama si Polan pada ketika itu hadir bersamanya.

Secara dasarnya, keizinan dan kebenaran dari tuan punya majlis untuk hadir adalah sangat penting dan sangat perlu, melainkan dia sudah mengetahui bahawa tuan punya majlis akan redha dengan kehadirannya.


Perkara ini pernah terjadi pada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri di mana Baginda telah dijemput untuk menikmati hidangan yang telah dimasak. Dalam undangan tersebut telah ditentukan siapa orangnya dan jumlahnya.
Riwayat daripada Abu Mas‘ud al-Anshari, dia menceritakan bahawa ada seorang lelaki dari golongan Anshar bernama Abu Syu‘aib yang mempunyai seorang pembantu yang menjual daging.
Pada suatu hari Abu Syu‘aib memandang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan dia mengetahui dari wajah
Baginda bahawa Baginda kelihatan lapar. Maka dia menyuruh pembantunya untuk menyediakan makanan untuk lima orang, kerana dia ingin mengundang Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sebagai salah seorang dari lima orang tetamu yang diundangnya.

Maka pembantunya itu pun melaksanakan perintah itu. Kemudian dia diutus kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam untuk mengundang Baginda sebagai salah seorang dari lima orang (maksudnya tetamu yang diundang ada lima orang termasuk Rasulullah sendiri).
Akan tetapi telah datang bersama-sama mereka seorang lagi (tidak termasuk antara tetamu yang diundang) dan ketika sampai di depan pintu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Sesungguhnya orang ini ikut (datang) bersama kami, jadi terserahlah kepadamu, apakah engkau memberinya izin (untuk masuk) atau kalau engkau mahu dia harus pulang.”
Abu Syu‘aib menjawab: “Tidak! Bahkan aku memberinya izin wahai Rasulullah!”
(Hadis riwayat Muslim)

Dalam riwayat yang lain daripada Abu Mu‘awiyah:

Maksudnya: “Telah ikut (datang) bersama-sama kami seorang lelaki. Dia tiada bersama kami pada ketika kamu mengundang kami.”
(Hadis riwayat at-Tirmizi)

Berdasarkan mafhum daripada hadis di atas, Ibnu Hajar al-‘Asqalani menbuat kesimpulan dengan beberapa perkara, iaitu:

· Barangsiapa hadir tanpa diundang, maka tuan majlis boleh memilih untuk menegahnya. Jika dia masuk tanpa izin, maka tuan majlis boleh mengeluarkannya atau menghalangnya.

· Berdasarkan perbuatan lelaki yang ikut serta bersama-sama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dalam hadis di atas, hadir tanpa diundang pada asalnya adalah tidak ditegah dan Baginda tidak pula menyuruhnya pulang. Ada kemungkinan dia akan diterima dengan baik dan diizinkan masuk, terpulang kepada kebijaksanaan, kebaikan hati dan budi bicara tuan majlis tersebut.

· Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam meminta izin daripada Abu Syu‘aib kerana membawa seseorang yang tidak dijemput untuk memberi kebaikan pada dirinya. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam sudah mengetahui bahawa Abu Syu‘aib tidak menghalang atau menegah kehadiran lelaki yang tidak diundang itu.

Ini berdasarkan dari hadis riwayat Abu Mu‘awiyah, tentang adanya isyarat atau pertanda bahawa jika lelaki itu berada dalam kumpulan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika kumpulan itu diundang, maka tidak perlu lagi meminta izin kerana sudah pasti dia akan diundang sama.
Sekiranya tetamu datang dengan membawa orang lain yang tidak dijemput, lalu tetamu tersebut pun meminta izin untuknya, maka sebaiknya izinkanlah orang yang tidak dijemput itu masuk sepertimana yang telah dilakukan oleh Abu Syu‘aib kerana itu adalah sebahagian dari makarim al-akhlak (akhlak yang terpuji).

· Dilarang mengikut tetamu lain ke suatu majlis melainkan dia tahu tuan punya majlis redha dengan kehadirannya.

· Kehadiran seseorang tanpa keizinan, kebenaran atau pengetahuan tuan punya majlis, maka makanan yang dimakan oleh tetamu yang tidak diundang itu umpama memakan sesuatu yang haram. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Barangsiapa diundang, lalu dia tidak memenuhi undangan itu, sesungguhnya dia telah derhaka kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa masuk (ke majlis) tanpa diundang, maka dia masuk sebagai pencuri dan dia keluar sebagai perampas harta orang.”
(Hadis riwayat al-Baihaqi)

Enggan Menerima Individu Lain Sebagai Tetamu

Telah diriwayatkan dalam hadis daripada Anas Radhiallahu ‘anhu bahawa seorang daripada jiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam adalah seorang bangsa Parsi yang pandai memasak. Maka pada suatu hari dia menyediakan suatu masakan untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan kemudiannya dia datang untuk mengundang Baginda menikmati masakan tersebut. Kebetulan isteri Baginda, ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, berada bersama-sama Baginda pada ketika itu.

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bertanya: “Dan dia ini?” (Baginda menunjuk kepada ‘Aisyah). Orang itu menjawab: “Tidak!”

Baginda pun bersabda: “Tidak!” Lalu orang (jiran) itu pun mengulangi undangannya.

Baginda masih bertanya: “Dan dia ini?” Orang (jiran) itu menjawab: “Tidak!”

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pun bersabda: “Tidak!” (Ertinya Baginda tidak mahu memenuhi undangan itu kalau ‘Aisyah tidak diundang bersama). Sekali lagi dia mengulangi undangannya dan Baginda bertanya lagi: “Dan dia ini?”

Maka pada kali yang ketiga orang (jiran) itu pun menjawab: “Ya!” Maka Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan ‘Aisyah pun berdiri dan segera mengikut orang itu sehingga mereka berdua sampai ke rumahnya.”
(Hadis riwayat Muslim)

Adapun mafhum dari hadis di atas, antara sebab jiran Rasulullah itu enggan mengizinkan ‘Aisyah hadir kerana berkemungkinan dia telah menyediakan makanan yang cukup untuk seorang sahaja iaitu untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Sekiranya dia mengizinkan ‘Aisyah hadir, dia khuatir makanan itu tidak akan mencukupi untuk Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

Enggan Hadir Melainkan Membawa Teman

Keengganan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menghadiri undangan jiran Baginda tidak menunjukkan bahawa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menolak terus dari menghadirinya.

Berkemungkinan Baginda enggan datang sendirian dan meminta ‘Aisyah dibawa bersama kerana:

§ Perbuatan atau undangan jiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berbeza dengan perbuatan pembantu Abu Syu‘aib, kerana pembantunya telah menjemput Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam berserta orang-orang yang rapat dengan Baginda. Manakala jiran Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam hanya menjemput Baginda seorang sahaja sedangkan ‘Aisyah ada bersama Baginda pada ketika itu. Oleh kerana itu Baginda enggan memenuhi undangan tersebut melainkan ‘Aisyah turut sama diundang.

§ Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengetahui bahawa ‘Aisyah ingin untuk menikmati hidangan tersebut.

§ Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam suka kalau ‘Aisyah menemani Baginda makan makanan tersebut.


Kesimpulan

Apabila membuat undangan sebaiknya pastikanlah dengan jelas tetamu yang akan dijemput, samada berbentuk khusus atau umum, agar tidak timbul keraguan di hati mereka untuk menghadirinya.

Manakala dari pihak yang diundang (tetamu), memenuhi undangan dan menghadirinya akan menerbitkan rasa gembira di hati orang yang menjemput tersebut, di samping mengeratkan dan menyuburkan lagi silaturrahim sesama tetamu yang lainnya.

Oleh kerana itu menghadiri walimah adalah wajib kecuali atas sesuatu sebab atau keuzuran, samada dia dijemput ke majlis itu oleh tuan punya majlis itu sendiri, atau melalui wakilnya yang dipercayai, atau melalui utusan seorang yang mumayyiz yang tidak diragui kejujurannya (tidak mungkin berbohong).

Menghadiri walimah tanpa diundang pula boleh mengakibatkan ketidak selesaan, perasaan serba salah dan mungkin juga kesusahan kepada tuan punya majlis terutamanya mengenai persediaan yang telah dibuat. Sebagai contoh, orang yang mengundang hanya mampu menyediakan jemputan bagi 10 orang sedangkan yang hadir melebihi daripada had yang telah ditentukan. Perkara sedemikian ini boleh mengakibatkan ketidak-selesaan kepada yang mengundang. Walau bagaimanapun bagi orang yang mengundang adalah lebih elok menerima sahaja tetamu yang tidak diundang itu kerana ia adalah sebahagian dari makarim al-akhlak (akhlak yang terpuji). Maka adalah menjadi ingatan bahawa perilaku hadir tanpa diundang digambarkan sebagai sesuatu yang buruk dan perlu dihindari. Oleh itu, perbuatan ini perlu diberi perhatian yang sewajarnya, jangan sampai ianya dipandang ringan, sambil lewa serta kurang penting.

LUPA DALAM SEMBAHYANG

LUPA DALAM SEMBAHYANG

Memang tidak dinafikan bahawa lupa sering terjadi pada diri manusia. Dalam pandangan Islam orang yang lupa, tersilap dan dipaksa melakukan perkara dosa adalah dimaafkan.
Sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menggugurkan (dosa) daripada umatku kerana tersilap, lupa dan yang dipaksa ke atasnya.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)



LUPA DALAM SEMBAHYANG

Lupa berlaku dalam semua perkara termasuk lupa dalam sembahyang. Umpamanya terlupa melakukan syarat, rukun atau sunat sembahyang. Untuk lebih jelasnya, dihuraikan beberapa contoh-contoh lupa dalam sembahyang dan cara penyelesaiannya.

PERTAMA : LUPA DALAM SYARAT SAH SEMBAHYANG

Syarat sembahyang adalah perkara yang mesti dilakukan sebelum mengerjakan sembahyang dan ia berterusan sehingga selesai sembahyang.
Sembahyang tidak akan sah jika syarat-syarat sembahyang itu tidak ditunaikan terlebih dahulu.
Syarat sembahyang itu ada lima :
1. Iaitu mengetahui waktu sembahyang.
2. Menghadap kiblat.
3. Menutup aurat.
4. Suci daripada hadas
5. Suci daripada najis.



CONTOH LUPA DALAM SYARAT SAH SEMBAHYANG

1. Jika seseorang terlupa untuk bersuci daripada hadas kecil atau hadas besar. Kemudian teringat dan yakin yang dia tidak berwudhu atau belum mandi wajib lagi, maka sembahyang yang dikerjakannya dalam keadaan yang tidak suci itu adalah tidak sah.
Walau bagaimanapun dia mendapat pahala atas qashadnya (niatnya) , bukan mendapat pahala atas perbuatan sembahyangnya.

2. Jika dia memakai pakaian yang bernajis disebabkan lupa, sedang dia telah mengerjakan sembahyang dengan pakaian itu. Apabila teringat dan yakin yang dia memakai pakaian yang bernajis, maka tidak sah sembahyang tersebut.
Oleh yang demikian hendaklah dia mengerjakan sembahyang itu semula dengan memakai pakaian yang suci daripada najis.
3. Apabila seseorang tidak mengetahui atau tidak sedar sehingga dia meninggal dunia bahawa pakaian yang dipakainya ketika mengerjakan sembahyang itu ada najis.
Menurut fatwa al-Baghawi, Moga-moga diharapkan mendapat kemurahan daripada Allah agar kesilapannya tidak diambil kira. Ini kerana Allah menggugurkan dosa bagi orang yang tersilap, terlupa atau dipaksa yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam, Baginda bersabda:


4. Jika berlaku syak atau ragu-ragu pada diri seseorang itu sama ada dia telah berwudhuk ataupun tidak ketika dia bersembahyang.
Jika dia merasakan demikian, sebenarnya pada asalnya dia dalam keadaan tidak bersuci, kemudian dia ambil wudhuk, kemudian dia bersembahyang. Selesai bersembahyang, dia ragu-ragu.
Dalam hal sebegini, dia dihukumkan tidak sah sembahyangnya kerana dirujuk pada asal keadaannya. Asal keadaannya tidak berwudhuk.
5. Jika dia syak atau ragu-ragu sama ada wudhunya batal ataupun tidak ketika bersolat, maka sembahyangnya itu sah kerana dia ragu-ragu pada batalnya wudhu.
Kerana pada asalnya dia telah berwudhuk. Cuma dia hanya ragu-ragu pada wudhuknya samada masih sah atau batal.

KEDUA : LUPA DALAM RUKUN SEMBAHYANG

Rukun-rukun sembahyang itu terbahagi kepada tiga bahagian:

i. Rukun qalbi : Rukun yang bersangkut paut dengan hati iaiu niat.
ii. Rukun qaul : Rukun yang bersangkut paut dengan perkataan, seperti takbiratulihram dan membaca surah al-Fatihah.
iii. Rukun fi‘li : Rukun yang bersangkut paut dengan perbuatan, seperti berdiri, rukuk dan sujud.

LUPA YANG SERING BERLAKU
Perkara yang sering terjadi dalam sembahyang ialah lupa melakukan tertib sembahyang :
a-sama ada tertib di antara rukun
b-atau tertib di antara sunat-sunat sembahyang.

KESAN LUPA DALAM TERTIB DI ANTARA SUNAT SEMBAHYANG

Tertib di antara sunat sembahyang tidak termasuk dalam rukun sembahyang, akan tetapi hanya menjadi syarat untuk dikira sebagai sunat dan bukan menjadi syarat sah sembahyang.
PERSOALAN : MEMBACA AT-TA’AUUZ SEBELUM MEMBACA IFITITAH
Jika mendahulukan membaca at-ta‘auuz sebelum membaca iftitah, maka dalam hal ini, at-ta‘auuz itu hendaklah diulang semula selepas membaca iftitah untuk membaca surah Al-Fatihah, kerana at-ta‘auuz sebelum itu tidak dikira sebagai sunat, disebabkan ia dibaca bukan pada tempatnya.
PERSOALAN : MENDAHULUKAN MEMBACA SURAH AL-QUR’AN DARIPADA SURAH AL-FATIHAH
Surah Al-Qur’an yang dibaca tidak dikira. Perlu diulang setelah selesai membaca Fatihah, kerana membaca Surah Al-Qur’an tidak dikira sunat kerana ia dibaca bukan pada tempatnya.
Namun sembahyangnya sah jika dia tidak mengulangi bacaan surah.
Diulang hanya menjadi syarat untuk dikira sebagai sunat dan bukan menjadi syarat sah sembahyang.

KESAN LUPA TERTIB DALAM RUKUN DALAM SEMBAHYANG

Tertib di antara rukun sembahyang pula adalah termasuk rukun sembahyang.
Jika tidak dilakukan tertib itu dengan senghaja, maka sembahyang itu batal kerana mempermain-mainkannya
CONTOH :
1. Didahulukan rukun fi‘li seperti sujud sebelum rukuk atau rukuk sebelum membaca surah al-Fatihah atau mendahulukan rukun qauli iaitu memberi salam sebelum sujud, maka sembahyang itu batal kerana mempermain-mainkannya.

2. Jika didahulukan rukun qauli dengan senghaja (selain memberi salam) sebelum rukun fi‘li seperti mendahulukan membaca tasyahhud sebelum sujud.
Maka tidaklah batal sembahyangnya, akan tetapi hendaklah diulang semula bacaan yang didahulukannya itu (tasyahhud ) pada tempatnya, kerana ia dibaca bukan pada tempatnya.
3. Jika didahulukan rukun qauli sebelum rukun qauli yang lain seperti mendahulukan shalawat sebelum membaca tasyahhud.
Maka tidaklah batal sembahyangnya, akan tetapi hendaklah diulang semula bacaan yang didahulukannya itu (shalawat) kerana ia dibaca bukan pada tempatnya. Adapun tasyahhud tak perlu diulang semula.

BEBERAPA CONTOH TERLUPA MELAKUKAN RUKUN SEMBAHYANG

Jika terlupa melakukan rukun sembahyang kemudian teringat rukun yang tertinggal itu ketika dalam sembahyang ataupun sesudah selesai sembahyang.
Berikut contoh-contoh lupa melakukan tertib di antara rukun sembahyang :

1- Teringat Rukun Yang Tertinggal Sebelum Sampai Pada Rukun Yang Sama Pada Rakaat Yang Berikutnya

1.1 Apabila tertinggal rukun sembahyang, kemudian teringat ataupun datang syak atau ragu-ragu sebelum sampai pada rukun yang seumpanya pada rakaat berikutnya.
Maka hendaklah dilakukan dengan segera rukun yang tertinggal atau yang diragui itu.
Segala perbuatan dan bacaan sembahyang yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal atau rukun yang diragui itu, adalah tidak dikira.
Sebelum salam sunat melakukan sujud sahwi, kerana setiap perkara yang boleh membatalkan sembahyang jika dilakukan dengan senghaja adalah disunatkan sujud sahwi.
Sebagai contoh keadaan di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) jika terlupa membaca surah al-Fatihah, kemudian teringat ketika sedang rukuk. Maka hendaklah dia berdiri semula dengan segera untuk membaca surah al-Fatihah dan rukuknya sebelum itu tidak dikira.
Jika dia tidak bangkit dengan segera setelah menyedarinya, maka batal sembahyang itu.

1.2 Imam atau munfarid yang lupa melakukan rukuk, kemudian teringat ketika sedang sujud. Maka hendaklah dia berdiri tegak semula dengan segera untuk melakukan rukuk. Manakala sujudnya sebelum itu tidak dikira.

1.3 Jika timbul syak atau ragu-ragu ketika rukuk, syak atau ragu-ragu sama ada dia telah membaca surah al-Fatihah atau tidak.
Maka hendaklah dia segera bangkit untuk membaca surah al-Fatihah.
Jika dia menunggu walau seketika untuk mengingati perkara yang disyakinya itu, maka batallah sembahyangnya.
1.4 Berbeza hukumnya jika timbul syak ketika sedang qiyam (berdiri), syak sama ada dia telah membaca surah al-Fatihah atau tidak.
Maka dalam hal ini, bolehlah dia menunggu untuk mengingati perkara yang disyakinya itu.

2. Teringat Rukun Yang Tertinggal Setelah Sampai Pada Rukun Sepertinya Di Rakaat Berikutnya

2.1 Apabila tertinggal satu rukun sembahyang, kemudian teringat ataupun timbul syak setelah sampai pada rukun yang seumpamanya pada rakaat yang berikut.
Maka memadailah rukun yang seumpanya itu menjadi ganti kepada rukun yang tertinggal atau yang diragui.
Semua perbuatan di antara rukun yang tertinggal hingga rukun yang seumpamanya dimana teringat dan timbul ragu-ragu adalah tidak dikira. Sebelum memberi salam disunatkan sujud sahwi.
Kemudian hendaklah meneruskan baki rakaat sembahyang sehingga sempurna rukun dan rakaatnya.

Sebagai contoh keadaan di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) jika tertinggal rukuk di rakaat pertama kemudian teringat ataupun timbul ragu-ragu ketika rukuk di rakaat kedua.
Maka memadailah rukuk rakaat kedua itu sebagai ganti rukuk rakaat pertama yang tertinggal atau yang diragui itu.
Apa yang dilakukan antara rukuk rakaat pertama dan rukuk rakaat kedua adalah tidak dikira.
Kemudian lakukanlah baki sembahyang sehingga sempurna segala rukun dan rakaat sembahyang itu.

3. Teringat Rukun Yang Tertinggal Sebelum Sampai Pada Rukun Yang Seumpamanya Pada Rakaat yang Berikutnya

3.1 Apabila tertinggal rukun sembahyang, kemudian teringat ataupun terjadi syak sebelum sampai pada rukun yang seumpamanya pada rakaat berikutnya, maka hendaklah dilakukan dengan segera rukun yang tertinggal atau yang disyaki itu.
Apa yang dilakukannya selepas rukun yang tertinggal atau yang diragui adalah tidak dikira.
Sebelum salam sunat melakukan sujud sahwi, kerana setiap perkara yang boleh membatalkan sembahyang jika dilakukan dengan senghaja adalah disunatkan sujud sahwi.

Contoh pertama keadaan di atas, imam atau munfarid (sembahyang seorang diri) yang terlupa membaca surah al-Fatihah, kemudian teringat ketika sedang rukuk. Maka hendaklah dia berdiri semula dengan segera untuk membaca surah al-Fatihah dan rukuknya sebelum itu tidak dikira.
Jika dia tidak bangkit dengan segera setelah menyedarinya, maka batal sembahyang itu.

Contoh kedua keadaan di atas, imam atau munfarid yang lupa melakukan rukuk, kemudian teringat ketika sedang sujud. Maka hendaklah dia berdiri tegak semula dengan segera untuk melakukan rukuk. Manakala sujudnya sebelum itu tidak dikira.

3.2 Jika timbul ragu-ragu ketika rukuk, ragu-ragu sama ada dia sudah membaca surah al-Fatihah atau tidak.
Maka hendaklah dia segera bangkit untuk membaca surah al-Fatihah.
Jika dia menunggu walau seketika untuk mengingati perkara yang diragui , maka batallah sembahyangnya.
3.3 Berbeza hukumnya jika timbul ragu-ragu ketika sedang qiyam (berdiri), ragu-ragu sama ada dia sudah membaca surah al-Fatihah atau tidak. Maka dalam keadaan ini, bolehlah dia menunggu untuk mengingati perkara yang disyakinya itu.


4. Teringat Rukun Yang Tertinggal Sesudah Memberi Salam

4.1 Jika teringat rukun yang tertinggal sesudah memberi salam, maka dalam keadaan ini.
Hendaklah dilihat kadar panjang atau pendeknya masa di antara sesudah memberi salam dan waktu teringat.
Hendaklah dilihat juga jenis rukun yang tertinggal itu, sama ada ia niat dan takbiratulihram atau rukun selain keduanya.
4.2 Jika yang tertinggal itu niat dan takbiratulihram, maka hendaklah diulang semula daripada awal sembahyang itu.

4.3 Jika rukun yang tertinggal itu bukan daripada niat dan takbiratulihram, serta jangka masa di antara salam dan ingat itu pendek, dan dia tidak terkena najis serta tidak banyak berkata-kata, maka lakukanlah baki rukun yang tertinggal itu tanpa mengulang semula sembahyang.
Contoh di atas terdapat dalam sebuah hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah Radhiallahu ‘anhu:


Maksudnya: “Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah sembahyang bersama kami sama ada sembahyang zohor atau asar. (Pada rakaat kedua) Baginda memberi salam. Berkata Zulyadain kepada Baginda: “Apakah sembahyang dikurangkan wahai Rasulullah?”
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada sahabat-sahabat Baginda: “Adakah benar apa yang dikatakannya itu?”
Mereka berkata: “Ya!” Maka Baginda menyambung sembahyang dua rakaat yang lain kemudian sujud dua kali (sujud sahwi).”
(Hadis riwayat al-Bukhari)

KADAR MASA PENDEK DAN PANJANG

a- Kadar jangka masa panjang dan pendek itu adalah mengikut ‘uruf.
Diukur kadar masa pendek itu seperti kadar yang dinukil daripada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam melalui teguran Zulyadain.
Dalam teguran Zulyadain itu menggambarkan Baginda bangkit dan pergi ke suatu penjuru masjid, lalu ditanya oleh Zulyadain dan pertanyaan Baginda kepada sahabat serta jawapan mereka.
Sementara kadar masa panjang pula ialah apa yang melebihi daripada kadar masa yang digambarkan dalam khabar Zulyadain tersebut.
b- Menurut al-Buwaithi dan Abu Ishaq, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah apa yang melebihi kadar masa serakaat.
c- Menurut Abu Hurairah, bahawa kadar jangka masa panjang itu ialah kadar sembahyang yang sedang dilakukan sama ada dua, tiga atau empat rakaat.

5. Makmum Terlupa Rukun Sembahyang

5.1 Apabila makmum teringat atau ragu-ragu meninggalkan surah al-Fatihah sebelum dia melakukan rukuk dan selepas imam telah rukuk.
Maka hendaklah makmum membaca surah al-Fatihah itu dahulu kemudian bersegera mengikuti imamnya.
Dalam hal ini makmum itu dimaafkan terkebelakang daripada imamnya sebanyak tiga rukun yang panjang.

5.2 Jika makmum itu teringat atau ragu-ragu meninggalkan surah al-Fatihah selepas dia dan imam melakukan rukuk.
Maka janganlah makmum kembali berdiri untuk membaca surah al-Fatihah. Akan tetapi hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah serakaat selepas imam memberi salam.

5.3 Jika makmum itu teringat atau ragu-ragu meninggalkan rukun sembahyang selain surah al-Fatihah.
Maka janganlah dilakukan yang tertinggal itu, bahkan hendaklah dia mengikuti imamnya dan menambah serakaat selepas imam memberi salam.

5.4 Jika makmum teringat meninggalkan niat dan takbiratulihram, maka batal sembahyangnya.
5.5 Jika makmum timbul ragu-ragu meninggalkan niat dan takbiratulihram, dan berlarutan ragu-ragunya sehingga berlalu satu rukun, maka batal sembahyangnya.


6. Hukum Sujud Sahwi Makmum Yang Terlupa Rukun Sembahyang

6.1 Tidak disunatkan sujud sahwi jika makmum terlupa sesuatu rukun yang ditinggalkannya ketika mengikuti imam.
Ini kerana imam yang suci daripada hadas menanggung kekurangan makmum.
6.2 Berbeza pula hukumnya, jika makmum terlupa sesuatu rukun selepas salam imam, maka pada ketika itu imam tidak lagi menanggung makmumnya kerana sudah terputus qudwah (ikutan) itu.

6.3 Apabila terjadi pada makmum timbul ragu-ragu dan berterusan ragu-ragunya sehingga selesai mengikuti imam.
Maka disunatkan bagi makmum melakukan sujud sahwi selepas disempurnakannya rukun yang diraguinya itu.
Ini kerana imam tidak lagi menanggung ragu-ragunya, bahkan dia sendiri yang menanggungnya.

7. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Rukun Sembahyang

7.1 Apabila imam terlupa melakukan perbuatan rukun sembahyang, maka sunat bagi makmum lelaki mengingati imam dengan bertasbih seperti katanya: atau seumpamanya dengan suara yang jahr (nyaring).
7.2 Bagi makmum perempuan, disunatkan menepuk tangannya dengan menepuk permukaan tapak tangan kanan dengan belakang tapak tangan kiri atau sebaliknya.
Menurut ulama Syafi‘eyah, jangan menepuk tangan dengan kedua-dua batin tapak tangan (bertepuk tangan), jika dilakukan demikian dengan niat bermain-main, maka batal sembahyangnya.

7.3 Jika imam teringat ada rukun yang tertinggal setelah makmum mengingatinya. Maka hendaklah imam itu melakukan rukun tersebut.
Akan tetapi jika imam itu yakin pada dirinya tidak menambah atau mengurangi rukun sembahyang, maka hendaklah dia beramal dengan keyakinan dirinya tanpa mengikut teguran makmumnya walaupun bilangan makmum itu ramai.
Ini disebabkan imam itu yakin pada dirinya tidak ada rukun yang tertinggal setelah makmum mengingatinya
7.4 Apabila imam meninggalkan dengan senghaja atau lupa untuk melakukan perbuatan rukun sembahyang seperti imam lupa sujud kemudian dia terus berdiri dan tidak kembali kepada yang terlupa itu (sujud).
Maka tidak boleh makmum itu mengikuti imamnya, akan tetapi hendaklah makmum berniat mufaraqah (berpisah daripada mengikuti imam) dan makmum menyempurnakan sembahyangnya itu dengan sembahyang seorang diri.
Ini disebabkan jika makmum yakin pada diri imam ada rukun yang tertinggal setelah imam dingatkan.

8. Lupa Atau Syak Bilangan Rakaat

8.1 Jika seseorang yang ragu-ragu pada bilangan rakaat, ketika dalam sembahyang, umpamanya adakah dia telah melakukan tiga atau empat rakaat?
Maka dalam keadaan ini hendaklah dia mengambil bilangan rakaat yang sedikit. Kemudian melakukan baki sembahyang lalu sujud sahwi sebelum salam.

8.2 Jika teringat pada rakaat yang diraguinya itu sebelum masuk pada rakaat yang lain, maka tidak disunatkan sujud sahwi.
Contoh : Jika dirakaat ketiga timbul ragu-ragu pada dirinya sama ada dia telah melakukan tiga atau empat rakaat.
Kemudian ia teringat dalam rakaat ketiga itu bahawa dia telah melakukan tiga rakaat, maka dalam keadaan ini tidaklah disunatkan sujud sahwi.
Akan tetapi jika dia teringat sesudah sampai melakukan rakaat keempat, maka hendaklah dia melakukan sujud sahwi sebelum salam.

8.3 Jika timbul ragu-ragu selepas memberi salam, sama ada ragu-ragu pada bilangan rakaat sembahyang ataupun rukun yang lainnya, maka ragu-ragu itu tidak memberi kesan apa-apa terhadapnya.

9. Lupa Pada Sunat Sembahyang

Sunat-sunat sembahyang itu terbahagi kepada dua:

1. Sunat ab‘ad. Iaitu perkara sunat yang perlu ditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.
2. Sunat hai’at. Iaitu perkara sunat yang tidakperluditampung dengan sujud sahwi apabila ditinggalkan.



SUNAT AB’AD

Sunat-sunat ab‘ad itu terdiri daripada:

1. Tasyahhud awal dan duduknya.
2. Qunut subuh dan qunut witir, dan berdirinya.
3. Shalawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud awal.
4. Shalawat ke atas Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.
5. Shalawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika tasyahhud akhir.
6. Shalawat ke atas keluarga Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam ketika qunut.

SUNAT HAI’AT

Sunat-sunat hai’at adalah selain perkara sunat yang disebutkan di atas, antaranya seperti berikut:

1. Mengangkat kedua belah tangan ketika takbiratulihram, ketika hendak rukuk, ketika bangkit daripada rukuk dan ketika bangkit daripada tasyahhud awal.
2. Membaca doa iftitah.
3. Membaca at-ta‘auuz sebelum surah al-Fatihah.
4. Membaca ayat atau surah daripada al-Qur’an selepas al-Fatihah pada dua rakaat permulaan.
5. Melafazkan takbir ketika takbir intiqalat (takbir perpindahan daripada satu rukun ke satu rukun yang lain.
6. Membaca tasbih ketika rukuk dan sujud.

KESAN TERLUPA SUNAT HA’AT DAN AB’AD

Apabila seseorang terlupa untuk melakukan sunat-sunat sembahyang, apakah yang perlu dilakukan jika menghadapi keadaan ini? Berikut adalah beberapa contoh lupa sunat sembahyang dan cara penyelesaiannya :

1. Lupa Melakukan Sunat Hai’at

1.1 Jika perkara-perkara sunat hai’at ditinggalkan dengan senghaja atau tertinggal dengan sebab lupa.
Maka sembahyang itu tidak batal, malah tidak disunatkan sujud sahwi.
Jika dilakukan juga sujud sahwi itu, sedangkan dia tahu perbuatan itu salah serta melakukannya dengan senghaja, maka batal sembahyangnya.
1.2 Lain pula hukumnya, jika dia tidak mengetahui perkara itu salah atau dilakukannya kerana terlupa, maka tidak batal sembahyang tersebut

2. Lupa Melakukan Sunat Ab‘ad

2.1 Apabila terlupa atau senghaja meninggalkan sunat ab‘ad walau tertinggal lebih daripada satu, maka sunat dilakukan sujud sahwi sebelum memberi salam.

Contoh : Jika tertinggal tasyahhud awal, walaupun hanya sebahagian daripada tasyahhud awal itu seperti tertinggal huruf dalam ayat , maka disunatkan sujud sahwi sebelum memberi salam.

2.2 Demikian juga qunut subuh atau qunut witir (tidak termasuk qunut nazilah). Jika tertinggal walau hanya satu huruf seperti tertinggal huruf dalam ayat , maka disunatkan sujud sahwi.

3. Teringat Sebelum Sampai Pada Rukun Sembahyang

3.1 Adapun jika teringat sunat ab‘ad yang tertinggal itu sebelum intishab (kadar atau had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fatihah), atau sebelum sempurna sujud (iaitu sebelum meletakkan kesemua tujuh anggota sujud).
Maka sunat kembali untuk melakukan sunat ab‘ad yang tertinggal itu.


Contoh :Jika seseorang terlupa melakukan tasyahhud awal kemudian dia bangkit untuk berdiri, lalu teringat sebelum intishab (kadar atau had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fatihah), maka sunat baginya kembali untuk melakukan tasyahhud awal.
Jika bangkitnya itu lebih hampir kepada berdiri berbanding dengan duduk, maka sunat dilakukan sujud sahwi kerana dia melakukan perbuatan yang bukan dalam susunan sembahyang.
Adapun jika bangkitnya itu lebih hampir kepada duduk berbanding dengan berdiri ataupun sama kedudukannya, maka tidak disunatkan sujud sahwi..

3.2 Demikian juga hukumnya, jika seseorang teringgal qunut, dia teringat ketika menuju melakukan sujud, teringat sebelum sampai melakukan sujud dengan sempurna.
Maka sunat kembali untuk melakukan qunut yang tertinggal.
Jika perbuatannya menuju kepada sujud itu sampai kepada sekurang-kurang had rukuk (bongkok badan sehingga kedua tapak tangan sampai kepada lutut), maka sunat baginya melakukan sujud sahwi kerana dia telah menambah satu rukuk.

4. Teringat Setelah Sampai Pada Rukun Sembahyang

4.1 Apabila teringat sunat ab‘ad yang tertinggal setelah intishab (kadar atau had berdiri yang memadai untuk membaca al-Fatihah) atau sujud.
Maka tidak boleh kembali pada melakukan sunat ab‘ad tersebut.
Jika dia kembali pada melakukannya sedangkan dia tahu perbuatan itu salah ataupun senghaja melakukannya, maka batal sembahyangnya itu. Di akhir rakaat pula, sunat sujud sahwi sebelum memberi salam.

Contoh : Jika seseorang lupa melakukan tasyahhud awal kemudian teringat setelah dia sampai intishab (berdiri tegak).
Maka tidak boleh lagi dia kembali pada melakukan tasyahhud awal.
Jika dia kembali pada melakukan tasyahhud itu, maka batal sembahyangnya.
4.2 Lain hukumnya, jika dia kembali pada tasyahhud tersebut dengan sebab lupa atau tidak mengetahui akan kesalahan perbuatan itu, maka tidak batal sembahyangnya.

4.3 Demikian samahukumnya dalam keadaan terlupa membaca qunut. Apabila teringat selepas sempurna sujud, maka tidak boleh lagi kembali pada melakukan qunut tersebut.

5. Syak Pada Meninggalkan Sunat Ab‘ad

5.1 Jika seseorang ragu-ragu pada meninggalkan sunat ab‘ad.
Maka sunat sujud sahwi sebelum memberi salam, kerana pada asalnya dia tidak melakukan sunat ab‘ad.

Contoh : Jika timbul ragu-ragu pada seseorang, adakah dia telah membaca qunut ataupun tidak, atau adakah dia telah melakukan tasyahhud awal ataupun tidak, maka sunat baginya sujud sahwi.

6. Peranan Makmum Apabila Imam Terlupa Sunat Ab‘ad

6.1 Apabila imam tertinggal sunat ab‘ad kemudian teringat sebelum intishab atau sujud, lalu imam kembali melakukan yang tertinggal itu.
Maka wajib makmum mengikutinya walaupun makmum itu sudah intishab atau sujud.
Jika makmum tidak kembali untuk mengikuti imamnya, maka batal sembahyangnya jika dia tidak berniat mufaraqah.
Contoh : Jika imam tertinggal tasyahhud awal kemudian teringat sebelum imam intishab (berdiri tegak), lalu imam kembali duduk untuk melakukan tasyahhud tersebut.
Maka makmum wajib mengikuti imam walaupun makmum tersebut sudah sampai pada intishab.

Contoh : Adapun jika imam tertinggal tasyahhud awal, kemudian teringat setelah imam intishab, lalu imam kembali pada melakukuan tasyahhud tersebut.
Maka makmum tidak boleh mengikuti imamnya itu. Ini kerana jika imam itu salah ataupun senghaja kembali pada melakukan tasyahhud awal.
Maka sembahyang imam itu batal dan makmum tidak boleh mengikuti imam yang batal sembahyangnya.
Maka dalam hal ini ada dua cara yang boleh dilakukan oleh makmum.
Pertama : Hendaklah makmum itu mufaraqah (berpisah daripada mengikuti imam).
Kedua : Atau hendaklah makmum menunggu imamnya dengan sangkaan imam itu kembali kepada tasyahhud awal disebabkan terlupa.

6.2 Jika dalam keadaan imam kembali pada tasyahhud awal setelah imam intishab, lalu makmum pun mengikuti imamnya kembali pada tasyahhud tersebut.
Maka batal sembahyang makmum itu.
6.3 Lain hukumnya, jika makmum itu terlupa ataupun tidak tahu perbuatan itu salah, maka tidak batal sembahyangnya.

6.4 Jika makmum yang terlupa melakukan tasyahhud awal lalu makmum itu berdiri intishab sedangkan imam duduk melakukan tasyahhud awal, maka makmum wajib kembali untuk mengikuti imamnya.

CARA MENGERJAKAN SUJUD SAHWI
1. Sujud sahwi hukumnya sunat :
a- apabila meninggalkan perkara yang disuruh dalam sembahyang.
b- ataupun membuat perkara yang dilarang sama ada ketika sembahyang fardhu ataupun sembahyang sunat melainkan ketika sembahyang jenazah.

2. Cara melakukan sujud sahwi itu ialah dengan dua kali sujud dan sekali duduk antara dua sujud tersebut.
3. Sujud sahwi itu dilakukan sebelum memberi salam. Segala yang diwajibkan dan disunatkan dalam sujud sahwi itu serupa dengan sujud dan duduk antara dua sujud di dalam sembahyang.
4. Hanya ada pendapat ini sahaja yang mengatakan zikir yang dibaca dalam kedua-dua sujud sahwi ialah .
Ini kerana zikir tersebut lebih sesuai dengan keadaannya iaitu lupa.

5. Wajib berniat sujud sahwi, dengan mengqasadkan (meniatkan ) dalam hati sujud sahwi beriringan ketika hendak melakukan sujud tanpa melafazkan niat tersebut. Jika dilafazkan niat itu maka batal sembahyang.

KESIMPULAN

Dengan penjelasan mengenai isu-isu lupa dalam sembahyang dan cara menyelesaikannya, mudah-mudahan akan menambahkan maklumat kita tentang sembahyang dan seterusnya sembahyang kita akan dilakukan dengan lebih sempurna.

RUJUKAN
1. I’anatut Tholibin Karangan Al-Allamah Abu Bakar Othman Addimyathi Al-Bakri
2. Irsyad Hukum keluaran Jabatan Mufti Brunei

KENCING BERDIRI

KENCING BERDIRI

Soalan :

Adakah benar kencing berdiri dilarang, dalam masa yang sama banyak tandas awam menyediakan tempat kencing berdiri ?

Jawapan :

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani

Terdapat disana hadis Rasulullah S.A.W. yang menyatakan Rasulullah kencing berdiri. Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam Shahihnya yang berbunyi :


Maksudnya : Dari Huzaifah berkata ” Nabi S.A.W. pergi kearah tempat pembuangan sampah suatu kaum lalu Baginda kencing sambil berdiri, kemudian beliau minta bawakan air kepadanya, maka aku membawa air kepadanya lalu beliau berwudu’ dengan air tersebut.

Hadis diatas menjelaskan kepada kita bahawa Rasulullah S.A.W. kencing sambil berdiri. Namun perlu kepada kupasan yang mendalam dan halus.

Pertama :

Sebab Rasulullah S.A.W berbuat demikian ( kencing sambil berdiri ) ketika Rasulullah S.A.W. kencing di tempat pembuangan sampah. ( ). Tempat pembuangan sampah tersebut tinggi. Jika mana-mana lelaki kencing dalam keadaan duduk di tempat tersebut, maka air kencing tersebut akan mengalir semula ke orang yang kencing. Maksudnya percikan air kencing tersebut akan terkena kepada orang yang kencing duduk di tempat tersebut.

Rasulullah sengaja berbuat demikian lebih kepada mengambil posisi untuk menutup diri. Baginda menjadikan tempat pembuangan sampah tersebut sebagai tembok untuk beliau berlindung. Maka terpaksa baginda kencing berdiri.Wallahua’lam. ( Ahsanul Kalam fil Fatawa Wa Ahkam. Syeik Attiyyah Saqar. Jilid ketiga muka surat 236 )






Kedua :

Ibnu Qayyim menyatakan bahawa Imam Tirmizi ada menyebut : dari Umar bin Khattab berkata : Nabi S.A.W. pernah melihat aku, dan aku ketika itu kencing berdiri. Maka Rasulullah S.A.W. bersabda : Wahai Umar jangan kencing berdiri. Umar berkata : Selepas teguran tersebut aku tidak pernah kencing berdiri.

Imam Tirmizi menyatakan : Sesungguhnya Abd Karim bin Abi Al Makhariq meletakan hadis diatas adalah hadis marfu’. Hadis diatas adalah hadis dhaif disisi Ahli Hadis.

Ketiga :

Dalam Musnad Al Bazzar dan selain dari musnad beliau, terdapat hadis Abdullah bin Buraidah dari ayahnya sesungguhnya Rasulullah S.A.W. bersabda :

Maksudnya : Tiga perkara daripada yang sia-sia. Pertama, eorang lelaki yang kencing berdiri. Kedua, menyapu dahi sebelum selesai solat. Ketiga, bernafas dengan mulut ketika sujud. ( Hadis riwayat Tirmizi )

Imam Tirmizi menjelaskan hadis ini tidak terpelihara. Al Bazzar mengatakan : Kami tidak mengetahui siapa meriwayatkan dari Abdullah bin Buraidah.

Keempat :

Tercatat dalam Zadul Maad karangan Ibnu Qayyim dalam jilid pertama sebagaimana berikut : Sesungguhnya baginda Rasulullah S.A.W. kebanyakannya kencing duduk. Beliau sering kencing di tanah yang lembut. Sebelum kencing, beliau akan menggores pada tanah lembut tersebut sehingga mudah air mengalir di dalamnya dan meresap.


Kelima :

Saidatina Aisyah berkata : Siapa yang mengatakan kepada kamu sesungguhnya Rasulullah S.A.W. kencing berdiri, hendaklah kamu jangan percaya kata-katanya.

Keenam :

Imam Syafei mengatakan dalam mengulas hadis Huzaifah yang di riwayatlkan oleh Bukhari : Orang arab biasanya, mereka mahu mengubat sakit pada tulang belakang dengan kencing berdiri. Maka Rasulullah kencing berdiri untuk mengebat sakit tulang belakangnya.

Kesimpulan

Syekh Atiyyah Saqar bekas Ketua Ahli Jawatankuasa Fatwa Al Azhar mengatakan bahawa kencing aadalah makruh, tidak sampai peringkat haram. Ini disebabkan boleh mendatang pencemaran hasil dari percikan kencing berdiri dan orang lain mudah melihat aurat kita yang kencing berdiri.Wallahualam.

GUNA AIR ZAMAM UNTUK BERSUCI

Soalan :

Kita tahu air zamzam merupakan air yang suci. Adakah harus kita bersuci dengan air zamzam seperti mengambil wudu’ dan mandi dengan air zamzam ?

Jawapan :

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

Fadhilah Assyeik Athiah Saqar dalam Kitab Fatwanya ” Ahsanul Kalam Fil Fatawa Wal Ahkam menyebut ” Tercatat dalam Fatwa Imam Nawawi dalam masalah lima menyatakan : tidak makruh bersuci dengan air zamzam disisi kami ( Ulama’ Syafei )”.

Kebanyakan ulama’ mengatakan hukum yang serupa iaitu tidak makruh melainkan satu riwayat dari Imam Ahmad.

Dalil disisi Ulama’ Syafie tidak ada menunjukkan tegahan atau larangan untuk berbuat demikian. Telah jelas dari Nabi S.a.w. bersabda : Air
( termasuk air zamzam ) adalah suci, tiada sesuatu yang menjadikan ia najis. Hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dari hadis Abi Said Al-Khudri.

Syeikh Attaih Saqar ( Bekas Pengerusi Majlis Fatwa Universiti Al –Azhar ) menyatakan ” Terdapat riwayat dari Abbas yang menyatakan tentang tegahan atau larangan mandi dengan air zamzam adalah tidak benar.

Rumusan

Kesimpulannya, Harus dan tidak makruh bersuci seperti mandi, mengambil wudu’ beristinja’ dan perkara yang seumpannya.

Sunday, 7 September 2008

ISU MEMBAWA ALAT YANG MENGANDUNGI PERISIAN AL-QURAN KE TANDAS

HUKUM MEMBAWA ALAT YANG
MENGANDUNGI PERISIAN AL-QUR’AN KE TANDAS


Dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia melalui
keajaiban akal dan ilham yang dikurniakan oleh Allah S.W.T. telah berjaya mencipta alat-alat yang serba canggih.

Al-Qur’an yang dahulunya hanya dapat dibaca melalui kertas ataupun mushaf kini, sudah dapat dimuatkan ke dalam alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA (Personal Digital Assistant).

Oleh kerana alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA
(Personal Digital Assistant) ini sangat penting penggunaannya
dalam kehidupan masa kini, maka sudah semacam kemestian ianya sentiasa dibawa bersama ke mana-mana sahaja termasuklah ketandas.

Sebagaimana yang dimaklumi, ayat-ayat al-Qur’an adalah
kalamullah yang wajib dihormati, dimuliakan dan dijaga sedaya upaya atau sebaik-baiknya agar ianya tidak terdedah kepada sebarang pencemaran atau penghinaan yang boleh menjejaskankesuciannya.

Jadi di sini, timbullah persoalan mengenai kehormatan perisian al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut. Adakah membawanya bersama masuk ke tandas, ataupun membawanya dalam keadaan berhadas akan mencemarkan kesucian al-Qur’an?


HUKUM MEMBAWA TULISAN AYAT AL-QUR’AN KE TANDAS


1- Membawa apa sahaja benda yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an mahupun zikrullah ke tandas hukumnya adalah makruh.

2- Termasuk juga dalam hal ini, nama-nama yang dimuliakan seperti nama-nama Allah, para nabi dan malaikat-malaikatNya sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.

3- Imam asy-Syirazi Rahimahullah berkata dalam kitabnya al-Muhadzdzab : “Jika ada seseorang ingin memasuki tandas dan
bersama-samanya ada sesuatu yang terdapat padanya zikir-zikir Allah, maka baginya menjauhkan benda tersebut daripada dirinya (tidak membawanya masuk ke tandas).

Kerana telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya NabiShallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak memasuki tandas, Baginda meletakkan cincin Baginda itu di luar, ini kerana di atas cincin Baginda itu ada tertulis perkataan الله رسول محمد yang Baginda jadikan sebagai mohor atau cap Baginda dalam urusan surat menyurat.”





3- Imam an-Nawawi Rahimahullah ketika mengulas kata-kata pengarang kitab al-Muhadzzab ini telah berkata : “Para ulama asy-Syafi‘eyyah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah sunat dijauhkan sesuatu yang ada padanya zikir-zikir Allah ketika seseorang itu hendak masuk tandas dan tidaklah wajib ianya dijauhkan daripada dirinya (membukanya).”


Imam an-Nawawi Rahimahullah seterusnya menambah: “Sama ada benda yang tertulis padanya zikir-zikir Allah itu duit perak (dirham) atau emas (dinar) atau cincin atau lainnya.

Begitu juga jika ada bersama-samanya tangkal ataupun azimat, sunat dijauhkan benda-benda itu daripada dirinya ketika hendak memasuki tandas.”

Ini bertujuan bagi memuliakan ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dan sebagai mencontohi perbuatan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang meletakkan cincin Baginda (di luar) apabila hendak masuk ke tandas kerana terdapatpadanya ukiran perkataan الله رسول محمد .


ADAKAH ALAT YANG MENGANDUNGI PERISIAN AL-QUR’AN DIHUKUMKAN SEBAGAI AL-QUR’AN ?


1- Para ulama berpendapat bahawa ayat yang ditulis pada sesuatu dengan tujuan untuk mengaji atau mempelajari ayat al-Qur’an adalah haram disentuh atau dipegang atau dibawa oleh orang yang berhadas.

2- Adapun ayat-ayat yang ditulis bukan kerana tujuan mengaji atau belajar membaca ayat tersebut, umpamanya ayat al-Qur’an yang ditulis sebagai tangkal dan azimat maka harus disentuh atau dibawa atau dipegang oleh orang yang berhadas.

3- Adapun alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang terdapat padanya perisian al-Qur’an, tidaklahdihukumkan sebagai al-Qur’an sungguhpun ianya diniatkan untuk mengaji atau mempelajari ayat-ayat al-Qur’an tersebut.
Ini kerana pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk elektronik dan tidak kekal.

Begitu juga bacaan al-Qur’an yang berbunyi dari alat tersebut adalah berbentuk rakaman.

Ia akan terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau dialihkan keprogram yang lain.

Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk membawa atau
menyentuhnya dalam keadaan berhadas kerana sebagaimana yang telah disebutkan tadi bahawa alat-alat tersebut tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an.

HUKUM MEMBAWA MASUK ALAT PERISIAN AL-QUR’AN KE TANDAS


a- Dalam kitab Nihayah al-Muhtaj karangan Imam ar-Ramli Rahimahullah, beliau berpendapat bahawa benda-benda yang tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an, atau nama-nama yang tidak dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas.

b- Begitu juga, jumhur ulama tidak menegah untuk membawa benda-benda selain zikir Allah ke tandas.



c- Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahawa adalah harus hukumnya membawa masuk alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya ke tandas dengan syarat unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an itu tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada di tandas.

d- Dalam erti kata lain, alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu hendaklah dimatikan ataupun dialihkan program al-Qur’an itu ke program yang lain sebelum masuk ke tempat-tempat
kotor seperti tandas supaya unsur tulisan dan bacaan ayat
al-Qur’an tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada dalam tandas.

Ini berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami
Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj, beliau berkata:

“….Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya
(cincin yang tertulis padanya al-Qur’an); walaupun dengan
senghaja, maka sunat untuk menyembunyikannya seperti
menggenggamnya dalam tapak tangan.”

e- Dengan mematikan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya itu, ataupun mengalihkannya kepada program lain sebelum memasuki tandas, maka terpeliharalah kesucian ayat al-Qur’an atau tafsirnya yang terdapat dalam alat-alat tersebut kerana ianya tidak akan muncul ketika berada dalam tandas.



f- Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menjelaskan , bahawa selain tandas, semua tempat-tempat kotor atau tempat-tempat maksiat dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan.

Maka menurut pendapat ini, tempat-tempat tari
menari, kawasan perzinaan, kedai judi, tempat yang mengamalkan riba dan yang seumpamanya, dan termasuk juga dalam hal ini tanah perkuburan orang-orang kafir adalah sama keadaannya sepertimana hukum membawa ayat-ayat al-Qur’an ke tandas.

KESIMPULAN

Tidak kira di mana pun ayat-ayat al-Qur’an tersebut, sama ada
pada kertas, tangkal, dinding dan sebagainya ianya masih lagi
dinamakan ayat-ayat al-Qur’an. (Fatwa Mufti Kerajaan Brunei 31/1972).

Maka dalam isu alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an ini, adalah sangat mustahak kepada pemiliknya , agar bersikap lebih berhati-hati dalam menjaga kesucian ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dengan memastikannya ditutup ataupun dialihkan kepada program yang lain sebelum memasuki tempat-tempat yang tidak wajar seperti tandas , ataupun mana-mana tempat yang dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan sepertimana yang telah dijelaskan tadi.

RUJUKAN

1. Irsyad hukum keluaran Jabatan Mufti Kerajaan Brunei.
2. Fatwa Mufti Kerajaan Brunei

Saturday, 6 September 2008

PUASA ENAM DAN PUASA QADHA'

PUASA ENAM DISATUKAN DENGAN PUASA QADA

MATLAMAT puasa jika dikerjakan dengan penuh penghayatan akan dapat membentuk manusia menjadi orang yang bertakwa sebagaimana perkara ini dijelaskan oleh Al-Quran.

Di samping itu puasa juga merupakan ibadat yang istimewa di sisi Allah Subhanahu Wataala kerana setiap ganjaran atau balasan kepada orang yang berpuasa diberikan dan dinilai oleh Allah Subhanahu Wataala sendiri sebagaimana yang disebut oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam, Baginda bersabda yang maksudnya :

"Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Allah Subhanahu Wataala berfirman : "Setiap amalan anak Adam (manusia) adalah untuknya (dapat diperiksa sendiri dan dinilai baik buruknya), melainkan amalan puasa, maka sesungguhnya puasa itu adalah untuk-Ku (Aku sendiri yang dapat memeriksa dan menilainya) dan oleh sebab itu Aku sendirilah yang akan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa." (Hadis riwayat Bukhari).

Puasa Ramadan adalah diwajibkan kepada umat Islam pada setiap tahun berdasarkan ayat Al-Quran dan hadis Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Begitu juga disunatkan ke atas orang Islam berpuasa sunat atau tathawwu’ di hari atau bulan yang lain seperti melakukan puasa ‘Asyura, hari ‘Arafah, puasa di bulan Syaaban, puasa mingguan pada hari Isnin dan Khamis, puasa enam hari pada bulan Syawal yang biasanya disebut sebagai puasa enam.

Puasa enam ialah puasa yang dikerjakan dengan berturut-turut atau berselang-selang sebanyak enam hari pada bulan Syawal selepas Hari Raya Fitrah.Puasa enam itu sunat dikerjakan oleh orang yang telah mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh dan juga sunat dikerjakan oleh orang yang tidak berpuasa Ramadan sebulan penuh disebabkan keuzuran yang diharuskan oleh syarak seperti haid dan nifas, musafir atau orang sakit.

Manakala bagi orang yang meninggalkan puasa Ramadan dengan sengaja adalah haram melakukan puasa enam kecuali setelah selesai mengqada puasanya. Namun ganjaran pahala puasa enam bagi orang yang tidak berpuasa penuh bulan Ramadan tidak sama dengan ganjaran pahala bagi orang yang mengerjakan puasa enam selepas mengerjakan puasa Ramadan sebulan penuh.

Sunat puasa enam ini berdasarkan sabda Baginda yang maksudnya :
"Sesiapa yang berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan puasa enam hari pada bulan Syawal, seolah-olah dia berpuasa sepanjang tahun." (Hadis riwayat Muslim).

Para ulama berselisih pendapat mengenai waktu atau masa mengerjakan puasa enam itu. Sebahagian besar ulama berpendapat puasa enam itu dilakukan dengan berturut-turut selepas Hari Raya mulai Hari Raya kedua dan seterusnya.


Manakala ulama muta’akhirin pula berpendapat puasa enam itu harus dilakukan secara tidak berturut-turut seperti berselang-seli dan sebagainya selama dalam bulan Syawal. Walau bagaimanapun mengerjakannya dengan berturut-turut selepas Hari Raya adalah lebih afdal.Mengerjakan puasa sunat sebanyak enam hari dalam bulan Syawal setelah berpuasa Ramadan sebulan penuh diibaratkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam sebagai berpuasa sepanjang tahun kerana sebulan puasa Ramadan itu menyamai puasa sepuluh bulan dan puasa enam pula menyamai dengan 60 hari atau dua bulan.

Jika dicampurkan sepuluh bulan dengan dua bulan, maka genaplah ia setahun, itulah yang dimaksudkan dengan puasa sepanjang tahun. Perkara ini dijelaskan lagi dalam sebuah hadis, sabda Baginda yang maksudnya :"Berpuasa sebulan (disamakan) dengan sepuluh bulan puasa, dan berpuasa enam hari selepasnya (disamakan) dengan dua bulan puasa, maka kedua-duanya itu (jika dicampurkan) genap setahun." (Hadis riwayat Al-Darimi).

Berdasarkan hadis di atas juga, sebahagian ulama menjelaskan bahawa puasa enam hari dalam bulan Syawal diberikan ganjaran yang sama dengan ganjaran puasa di bulan Ramadan, kerana setiap kebajikan itu dibalas atau diberikan dengan sepuluh kali ganda.

Sebagaimana juga mereka mengatakan : "Membaca Surah Al-Ikhlas itu sama dengan membaca sepertiga Al-Quran."KEWAJIPAN MENGQADA PUASAPuasa Ramadan yang ditinggalkan adalah wajib diqada sebanyak hari yang ditinggalkan itu sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah dalam firman-Nya yang tafsirnya :"Maka wajiblah dia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain." (Surah Al-Baqarah : 184).

Kewajipan mengqada puasa itu tidak kira sama ada puasa itu ditinggalkan dengan sengaja atau kerana keuzuran kecuali orang-orang yang benar-benar tidak berdaya mengerjakannya seperti orang sakit yang tidak ada harapan untuk sembuh. Mereka tidak diwajibkan mengqada puasa yang ditinggalkan itu tetapi wajib membayar fidyah sebagai ganti puasa yang ditinggalkan.

Hal ini dijelaskan dalam firman Allah Subhanahu Wataala yang tafsirnya :"Dan wajib atas orang-orang yang tidak berdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin." (Surah Al-Baqarah : 184).

Dalam mengerjakan qada puasa ini, para ulama berpendapat bahawa orang-orang yang meninggalkan puasa tanpa uzur adalah wajib menyegerakan qada puasa tersebut. Dan mereka tidak diharuskan bahkan haram melakukan puasa-puasa sunat termasuk puasa enam hari di bulan Syawal.

Puasa qada boleh dilakukan pada bila-bila masa kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa seperti Hari Raya Fitrah, Hari Raya Haji atau pada hari-hari Tasyriq dan sebagainya dan ia wajib disegerakan sebelum masuk Ramadan yang baru.Jika qada puasa hendak dikerjakan pada bulan Syawal ia boleh dilakukan bermula pada Hari Raya Kedua (2 haribulan Syawal).

Bagi mereka yang diharuskan meninggalkan puasa kerana keuzuran yang dibenarkan oleh syarak seperti orang perempuan yang haid atau nifas, orang sakit atau orang musafir (dalam perjalanan) dan lain-lain, sunat bagi mereka mengerjakan puasa enam sekalipun mereka masih mempunyai qada.

Walau bagaimanapun menurut para ulama ganjaran yang bakal diterimanya tidaklah sama dengan ganjaran pahala yang diterima oleh mereka yang berpuasa enam setelah berpuasa penuh satu bulan Ramadan.Berbanding dengan orang-orang yang meninggalkan puasa Ramadan tanpa keuzuran atau dengan sengaja, diharamkan ke atas mereka mengerjakan puasa enam pada bulan Syawal itu kerana mereka diwajibkan menyegerakan qada tersebut.

Manakala bagi orang yang luput keseluruhan puasa Ramadan (selama satu bulan) kerana keuzuran yang diharuskan oleh syarak, jika dia mengerjakan puasa qadanya pada bulan Syawal, disunatkan (mustahab) ke atasnya mengqada puasa enam itu dalam bulan Zulkaedah.

Walau bagaimanapun, menurut ulama dia hanya mendapat ganjaran sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam iaitu orang yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan puasa enam pada bulan Syawal diibaratkan berpuasa selama satu tahun.

MENYATUKAN PUASA QADA DENGAN PUASA ENAM

Bagi orang yang hendak melakukan qada puasa Ramadan (meninggalkannya kerana keuzuran yang dibolehkan oleh syarak), ia boleh dilakukan sekaligus dengan puasa enam dalam bulan Syawal.

Caranya ialah orang tersebut hendaklah berniat bagi kedua-duanya iaitu puasa qada dan puasa sunat tersebut dengan tujuan bagi mendapatkan ganjaran kedua-dua sekali (iaitu ganjaran puasa qada dan ganjaran puasa sunat).

Hal ini sama seperti orang yang berniat puasa wajib sama ada puasa qada atau puasa nazar atau puasa kafarah, pada hari-hari yang disunatkan berpuasa seperti hari Arafah atau pada hari Isnin dan Khamis atau pada hari ‘Ayura dan puasa-puasa sunat yang lain seumpamanya.

Dalam menunaikan puasa tersebut, jika dia berniat kedua-duanya sekali iaitu puasa qada dan puasa sunat seperti puasa hari Arafah atau puasa-puasa sunat yang lain, maka dia akan mendapat ganjaran bagi puasa sunat dan puasa wajib tersebut.

Tetapi jika dia berniat hanya bagi puasa sunat sahaja atau puasa wajib sahaja, maka dia hanya akan mendapat gambaran bagi puasa yang diniatkannya sekalipun ia dilakukan pada hari yang bertepatan antara puasa wajib dan puasa sunat itu.

Ibnu Hajar Al-Haitami dalam fatwanya menjelaskan, mengenai orang yang berniat puasa sunat bersama puasa wajib seperti di atas dengan katanya maksudnya :"Jika diniatkan keduanya (puasa sunat dan pusat wajib) dia mendapat ganjaran bagi kedua-duanya atau diniatkan salah satu maka gugur tuntutan yang satu lagi dan tidak mendapat ganjarannya." (Al-Fatwa Al-Kubra : 2/75).

Walaupun menyatukan puasa qada dengan puasa enam itu diharuskan dan mendapat ganjaran pahala kedua-duanya, namun ganjaran tersebut tidaklah menyamai ganjaran pahala seperti yang disebut dalam hadis di atas. Walau bagaimanapun sikap menyegarakan qada puasa itu sikap yang terpuji dan dituntut oleh syarak kerana ganjaran dan pahala ibadat puasa itu hanya Allah Subhanahu Wataala sahaja yang menilai dan menentukan berapa banyak balasan yang perlu diberikan kepada mereka yang berpuasa.

RUJUKAN

Fatwa Jabatan Mufti Brunei

PUASA RAMADHAN : KANAK-KANAK DAN HUKUM BERPUASA


PUASA RAMADHAN: KANAK-KANAK DAN HUKUM BERPUASA

Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda.
Kedatangan bulan Ramadhan merupakan rahmat bagi setiap orang yang beriman. Di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit, pintu-pintu syurga dan pintu-pintu rahmat. Sebagai seorang yang beriman, sudah setentunya tidak ingin terlepas segala peluang yang ada. Lebih-lebih lagi di bulan ini banyak keistimewaan dan ganjaran pahala.
Di samping itu, kanak-kanak tidak ketinggalan juga turut berpuasa sama ada didorong oleh ibu bapa ataupun kemahuan mereka sendiri. Pada kebiasaannya, ibu bapa menggalakkan anak-anak
mereka yang belum baligh berpuasa walaupun puasa mereka itu tidak sampai sehari penuh. Kadang-kadang ia hanya sebagai satu latihan praktikal kepada anak-anak, di samping mengenal apa itu puasa.
Tindakan ibu bapa melatih anak-anak mereka berpuasa adalah satu tindakan yang terpuji. Ini selaras dengan syara‘ untuk menyuruh anak-anak mereka, jika terdaya untuk berpuasa ketika berumur 7 tahun dan memukulnya (pukulan yang tidak mencederakan) jika meninggalkan puasa ketika berumur 10 tahun. Perkara ini diqiyaskan kepada menyuruh anak mengerjakan kewajipan sembahyang. Sebagaimana sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi
wasallam:

Maksudnya: “Perintahkanlah anak-anak kamu supaya bersembahyang ketika mereka berumur tujuh tahun, dan pukullah mereka atas (keengganannya) ketika mereka berumur sepuluh
tahun…”(Hadits riwayat Abu Daud)
Hukum Kanak-Kanak Berpuasa Salah satu syarat wajib puasa itu ialah baligh. Kanak-kanak yang sudah mencapai umur baligh adalah diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan. Sementara kanak-kanak yang belum mencapai umur baligh, tidak diwajibkan ke atasnya puasa Ramadhan dan tidak diwajibkan qadha. Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Diangkatkan (dibebaskan) dosa daripada tiga (golongan): orang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia mimpi (baligh) dan orang gila sehingga dia berakal.” (Hadits riwayat Abu Daud)

Persoalannya, bagaimana pula jika kanak-kanak yang belum mumayyiz atau yang sudah mumayyiz berpuasa, adakah puasa mereka itu sah ataupun tidak? Penjelasan hukum mengenainya adalah seperti berikut:-
(1) Kanak-Kanak Yang Belum Mumayyiz
Kanak-kanak yang belum mumayyiz ialah kanak-kanak yang tidak tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Tidak sah puasa kanak-kanak yang belum mumayyiz. Ini kerana
syarat sah bagi orang yang berpuasa itu ialah berakal dan mumayyiz.
(2) Kanak-Kanak Yang Mumayyiz
Kanak-kanak yang mumayyiz ialah kanak-kanak yang sudah tahu membezakan di antara yang baik dan buruk. Sah puasa kanak-kanak yang mumayyiz apabila ia berniat puasa dimalam hari, walaupun puasa Ramadhan itu tidak diwajibkan ke atasnya.
Beberapa Permasalahan Kanak-Kanak Mengenai Puasa Ramadhan Di antara permasalahan kanak-kanak dalam puasa Ramadhan adalah seperti berikut:-
(1) Baligh Sebelum Masuk Waktu Puasa Apabila kanak-kanak mencapai umur baligh sebelum masuk waktu puasa, adalah diwajibkan ke atasnya berpuasa. Sebagai contoh, kanak-kanak itu bermimpi (keluar air mani) di malam hari puasa maka wajib dia berniat puasa untuk siang harinya.

(2) Baligh Selepas Masuk Waktu Puasa Kanak-kanak yang mencapai umur baligh selepas masuk waktu puasa, penyelesaiannya adalah seperti berikut:-
(i) Jika di siang hari itu dia berpuasa, lalu mencapai umur baligh, maka wajib disempurnakan puasanya itu. Ini kerana dia sudah tergolong orang yang diwajibkan berpuasa ketika itu. Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha? Dalam hal ini, tidak lagi diwajibkan ke atasnya qadha.
(ii) Jika di siang hari itu dia tidak berpuasa, lalu mencapai umur baligh, maka tidak diwajibkan ke atasnya imsak (menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa) pada baki waktu puasa di hari tersebut.
Walau bagaimanapun disunatkan juga ke atasnya imsak pada baki waktu puasa di hari tersebut bagi menghormati waktu dan sebagai jalan keluar daripada perselisihan pendapat ulama yang mengatakan wajib imsak.
Persoalannya, adakah wajib ke atasnya qadha? Dalam hal ini, tidak diwajibkan ke atasnya qadha. Walau bagaimanapun sunat ke atasnya mengqadha puasa tersebut.
KESIMPULAN
Ibu bapa adalah berkewajipan untuk mendidik anak-anak mereka tentang agama Islam sejak di usia awal mereka lagi. Mendidik tentang pengetahuan agama, menanamkan akhlak-akhlak mulia
dan sebagainya. Ini termasuklah juga menyuruh mereka berpuasa ketika berumur 7 tahun sebagaimana dalam perkara sembahyang. Semoga penjelasan yang telah dihuraikan mengenai hukum kanakkanak berpuasa serta beberapa permasalahannya akan menjadi panduan kepada ibu bapa malah kepada anak-anak mereka bagi menjalani ibadah puasa dengan sesempurnanya